Kontroversi Shahrizat_Abdul_Jalil

Pusat Fidlot Nasional

Pada 8 November 2011, Rafizi Ramli telah menuduh keluarga Shahrizat melakukan penyalahgunaan dana pinjaman kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd.[6]Pada 10 November 2011, Zuraida Kamaruddin mendesak Shahrizat agar meletak jawatan dan parti ekoran projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC). Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang dan Ketua Wanita PKR berkata pendedahan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010 jelas menunjukkan NFC menerima pinjaman mudah RM250 juta dan tanah seluas 5,000 ekar. Ribuan petani dan penternak tidak dapat pinjaman mudah sebegitu. [7]Ini mengakibatkan beliau mengemukakan saman fitnah pada 2 Januari 2012 sebanyak RM100 juta terhadap Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Rafizi Ramli dan Ketua Wanita parti itu, Zuraida Kamaruddin berhubung isu tersebut. Selain itu,

Shahrizat memohon perintah injunksi bagi menghalang kedua-dua defendan daripada terus membuat sebarang kenyataan bertulis atau lisan terhadap dirinya atau lain-lain perkara yang melibatkan NFC mahupun syarikat-syarikat bersekutunya. Sehingga ini saman malu Shahrizat kepada kedua belah pihak yang memfitnah beliau belum lagi diputuskan oleh pihak mahkamah.[8][9]

Pada Jun 2012, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak sebarang kaitan diantara Shahrizat dan kes salah laku berkenaaan dengan isu NFC. Pengerusi SPRM Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil berkata bahawa panel membuat keputusan itu selepas mengkaji laporan siasatan dari Pejabat Peguam Negara, dan menutup kes terhadap mantan Menteri Pembangunan, Keluarga dan Masyarakat, sejurus itu membersihkan nama beliau dari sebarang tuduhan.

Pada November 2015, suami kepada Shahrizat, Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, didapati tidak bersalah dari dua tuduhan jenayah pecah amanah. Pejabat Peguam Negara menarik balik tuduhan terhadapnya kerana didapati tiada bukti kukuh untuk membabitkan beliau atas tuduhan jenayah tersebut.