Kerjaya Shahz_Jaszle

Shahz, berdarah campuran darah Cina, Pakistan dan Melayu ini sebenarnya telah berkecimpung dalam dunia seni sejak tahun 2006. Bermula dengan program TV Naratif Remaja terbitan RTM sehinggalah drama bersiri Tari Tirana yang benar-benar melonjakkan namanya, Shahz telah melalui pelbagai cabaran sebelum namanya dikenali.

Cita-cita asalnya adalah untuk bergelar seorang chef. Malah Shahz berpeluang mengambil sijil kursus perhotelan dan katering di Kolej Komuniti, Selangor, sebelum terjun ke dunia lakonan. Tidak pernah terlintas dalam kepalanya untuk jadi pelakon sebelum ini. Mulanya hanya menemani seorang teman untuk sesi uji bakat program Naratif Remaja tetapi dia pula disuruh mencuba dan akhirnya terpilih. Sejak itu beliau mula terlibat dengan dunia lakonan dan dalam masa yang sama aktif mendapat tawaran peragaan.

Ketika menuntut, anak kelima daripada tujuh beradik ini pernah kerja sebagai pelayan di restoran TGI Friday. Selepas mendapat tawaran berlakon siri TV Luna Fantasiku, baru kerjaya lakonan beliau semakin stabil dan seterusnya mendapat tawaran drama Tari Tirana yang memperkenalkan lagi namanya.

Biarpun mula dikenali menerusi watak Ash dalam siri TV Tari Tirana arahan Shahrulezad Mohammedin, nama Shahz mula menjadi kegilaan apabila susuk tubuhnya diabadikan sebagai Asmara dalam siri TV tajuk serupa terbitan Suhan Movies di bawah arahan Heikal Hanafiah. Lakonan berkesan beliau sebagai remaja yang dipaksa kahwin itu mendapat pujian ramai. Kini nama Shahz sudahpun sebaris dengan nama-nama popular lain dan dijangka akan terus mekar pada tahun 2011.