Aplikasi Silikon_dioksida

Kegunaan utama silika ialah di dalam penghasilan kaca untuk tingkap, cawan minum, botol minuman dan pelbagai kegunaan lain. Kebanyakan gentian optik yang digunakan untuk telekomunikasi juga dibuat daripada silika. Ia merupakan bahan utama dalam penghasilan pelbagai barangan seramik putih seperti barangan tembikar, porselin dan juga simen Portland yang digunakan dalam industri.

Silika ialah bahan tambahan biasa yang digunakan dalam penghasilan makanan, di mana ia digunakan terutama sekali sebagai agen pengalir dalam makanan serbuk, atau untuk menyerap air dalam kegunaan higroskopi. Ia adalah bahan utama dalam tanah diatom yang mempunyai banyak kegunaan, daripada penapisan hingga ke kawalan serangga perosak.