Kegunaan Skandium

Kira-kira 20 kg (dalam bentuk Sc2O3) skandium digunakan setiap tahun di Amerika Syarikat untuk membuat lampu berkeamatan tinggi. Skandium iodida yang dicampur ke dalam lampu wap raksa akan menghasilkan sumber cahaya buatan kecekapan tinggi yang menyerupai cahaya matahari dan membolehkan salinan warna yang baik untuk kamera TV. Lebih kurang 80 kg skandium digunakan sejagat setiap tahun dalam pembuatan lampu mentol. Isotop radioaktif Sc-46 digunakan dalam peretak penapis minyak sebagai agen penyurih.

Penggunaan utamanya dari segi isipadu adalah aloi aluminium-skandium untuk industri aeroangkasa dan juga untuk peralatan sukan (basikal, bet besbol, senjata api, dsb) yang memerlukan penggunaan bahan berprestasi tinggi. Apabila dicampur dengan aluminium, skandium boleh menghasilkan pembaikan dari segi kekuatan (pada suhu ambien dan suhu ternaik), kemuluran, tindak balas penuaan dan penghalusan ira melalui pembentukan fasa Al3Sc. Tambahan lagi, ia dapat mengurangkan pemejalan retak semasa pengimpalan aloi aluminium berkekuatan tinggi.

Pengilang basikal mendakwa bahawa penggunaan asal aloi skandium-aluminium adalah pada muncung kon peluru berpandu balistik lancaran kapal selam Kesatuan Soviet. Kekuatan daripada hasil muncung kon tersebut adalah mencukupi untuk menembusi litupan ais tanpa kerosakan, maka membolehkan pelancaran peluru berpandu semasa masih lagi tenggelam di bawah litupan ais Artik. Sekiranya dakwaan ini benar, ini akan memberikan penjelasan mengapa simpanan stok bekas Kesatuan Soviet adalah sumber utama Skandium.