Solanaceae
Solanaceae

Solanaceae

Cestroideae
Goetzeoideae
Nicotianoideae
Petunioideae
Schizanthoideae
Schwenckioideae
Solanoideae[1]Solanaceae merupakan sebuah famili tumbuhan berbunga yang penting untuk ekonomi manusia. Rumpun ini terdiri daripada pelbagai jenis herba, pokok menjalar, pokok akar, pokok renek mahupun pohon, baik yang bermusim mahupun saka, termasuklah beberapa jenis tanaman pertanian, ubat-ubatan, rempah-ratus, rumpai dan hiasan terkemuka. Banyak ahli famili ini yang mengandungi alkaloid poten yang sesetengahnya amat toksik. Tetapi sesetengah ahli juga menjadi sumber makanan manusia. Keluarga ini tergolong dalam order Solanales, dalam kelompok asterid dikotiledon (Magnoliopsida).[2] Solanaceae terdiri daripada sekitar 98 genus dan kira-kira 2,700 spesies,[3] dengan habitat, morfologi dan ekologi yang pelbagai sekali.Nama Solanaceae berpunca daripada genus Solanum, iaitu "pokok rangam" atau rumpun "terung".[4] Asal-usul perkataan Latin itu tidak jelas. Nama itu mungkin datang daripada rupa bentuk bunga sesetengah ahlinya yang menyerupai matahari dengan sinarnya. Sekurang-kurangnya terdapat satu spesies Solanum yang dikenali sebagai "sunberry". Selain itu, nama itu mungkib berpunca daripada kata kerja Latin iaitu solari yang bermaksud "menenangkan", iaitu mungkin memaksudkan ciri-ciri penenang farmakologi pada sesetengah spesies yang psikoaktif dalam keluarga ini.Keluarga Solanaceae tertabur di seluruh dunia, iaitu terdapat di semua benua kecuali Antartika. Kepelbagaian spesies terbesarnya terdapat di Amerika Selatan dan Amerika Tengah.Solanaceae termasuk beberapa spesies yang umum dipungut atau dicucuk tanam. Genus yang paling penting dari segi ekonomi dalam keluarga ini ialah Solanum, yang mengandungi kentang (S. tuberosum, sebenarnya keluarga ini juga umum digelar "rumpun kentang"), tomato (S. lycopersicum), dan terung (S. melongena). Satu lagi genus terkemuka iaitu Capsicum merupakan rumpun lada.Genus Physalis membuahkan buah leletup (Physalis minima) dan juga tomatilo (Physalis philadelphica) dan gusberi Tanjung. Genus Lycium mengandungi pokok gharqad dan buah goji Lycium barbarum. Nicotiana pula termasuk pokok tembakau. Antara banyak lagi ahli Solanaceae adalah pokok bunga hiasan seperti Petunia, Browallia, dan Lycianthes, dan sumber alkaloid psikoaktif seperti Datura, Mandragora dan Atropa belladonna. Sesetengah spesies terkenal sejagat kerana kegunaan perubatan, kesan psikotropik (dadah) ataupun keberacunannya.Kecuali tembakau (Nicotiana tabacum, Nicotianoideae) dan petunia (Petunia x hybrida, Petunioideae), kebanyakan genus yang penting dari segi ekonomi terkandung dalam subfamili Solanoideae. Selain itu juga, keluarga Solanaceae merangkumi banyak organisma contoh yang penting untuk menyelidik persoalan biologi yang asas pada peringkat sel, molekul dan genetik seperti tembakau dan petunia.