Sejarah Stesen_Bandar_Tasik_Selatan

Stesen ini dibuka pada 10 November 1995 apabila perkhidmatan KTM Komuter Kuala Lumpur-Kajang bermula. Perkhidmatan KTM Komuter di stesen ini lalu disertai oleh perkhidmatan LRT STAR apabila fasa kedua LRT STAR mula beroperasi pada 11 Julai 1998. Kedua-dua perkhidmatan ini yang mempunyai bagunan stesen sendiri disambungkan oleh laluan pejalan kaki merentasi landasan LRT STAR.

Kemudian, pada 20 Jun 2002, Express Rail Link (ERL) mula berkhidmat di stesen ini dengan pelancaran perkhidmatan KLIA Transit. Sebuah jejambat pejalan kaki juga dibina merentasi landasan KTM dan ERL untuk menghubungkan perkhidmatan ERL dengan perkhidmatan KTM dan LRT. Pada tahun 2008, ETS mula berkhidmat di stesen ini dengan pelancaran perkhidmatan ETS Ipoh-KL-Seremban. Namun begitu, perkhidmatan ETS ditamatkan di stesen ini beberapa tahun sebelum dikembalikan semula pada tahun 2015.

Sebuah laluan pejalan kaki telah dibina bagi menghubungkan stesen ini dengan Terminal Bersepadu Selatan yang baru dibuka pada 1 Januari 2011.[1]