Sejarah Subang_Jaya

Subang Jaya dibangunkan oleh Sime UEP Berhad, bahagian pembangunan hartanah konglomerat Malaysia Sime Darby Berhad yang diketuai oleh Dato' Syed Abdul Bari Shahabudin. Dahulunya, tanah ini merupakan ladang kelapa sawit bernama Seafield Estate. Pihak berkuasa tempatan pada masa itu ialah Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ). Kerja pembangunan Subang Jaya (terdiri daripada SS 12 - SS 19) bermula pada 21 Februari 1976 dan disiapkan pada tahun 1988. Selepas selesai, Sime UEP mula membersihkan tanah untuk pembangunan USJ. Pada tahun 1999, Sime UEP memulakan pembangunan Putra Heights.

Pada 2 Januari 1997, Subang Jaya dianugerahkan status perbandarannya sendiri (municipality), yang mana Subang Jaya telah dipindahkan daripada pihak berkuasa tempatan sebelumnya iaitu MPPJ ke Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). MPSJ yang baru ditubuhkan, bukan sahaja memegang kuasa pentadbiran tempatan di Subang Jaya, iaitu USJ, Sungei Way-Subang(SS), Bandar Sunway tetapi juga mentadbir beberapa kawasan lain yang sebelumnya di bawah pentadbiran Majlis Daerah Petaling seperti sebahagian besar Puchong, sebahagian besar Serdang, Seri Kembangan dan tempat-tempat lain dalam daerah Petaling.