Pembangunan Sultan_Abu_Bakar_Ri’ayatuddin_al-Mu’azzam_Shah_ibni_al-Marhum_Sultan_Abdullah_al-Mu’tassim_Billah_Shah

Kepesatan pertumbuhan ekonomi seperti perlombongan bijih timah, emas dan perladangan getah berlaku pada zaman pemerintahan baginda sejurus selepas kemerdekaan Tanah Melayu. Semasa pemerintahan baginda juga, ibu negeri Pahang yang pada ketika itu Kuala Lipis, telah dipindahkan ke Kuantan. Sebagai seorang Raja Pemerintah yang sangat prihatin atas segala hal ehwal berkaitan perkembangan agama Islam di Negeri Pahang, baginda telah mengambil beberapa langkah untuk kemajuan dan kebangkitan agama. Di antaranya, pada Mac 1950 menubuhkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang, menghidupkan kembali jawatan Mufti kerajaan kepada jawatan Kadi Besar serta mewujudkan sebuah Sekolah Arab Tinggi dengan nama Kuliah Al-Lughah Waddin Al-Sultan Abu Bakar Pahang dalam tahun 1941.

Baginda merupakan seorang Raja pencetus kemodenan atau pembawa arus perubahan di dalam sejarah Negeri Pahang moden. Banyak adat-adat yang tidak bersesuaian pada masa itu ditinggalkan. Baginda mengikut dan bergerak menurut masa dari segi pemikiran, pemerintahan dan memimpin rakyat.