Sultan_Mahmud_Shah_III

Sultan Mahmud Shah III merupakan sultan Johor-Riau-Lingga ke-16 pada 1761-1812 Masihi. Menurut sejarah, Raja Mahmud masih berusia setahun ketika dinobatkan sebagai Sultan menggantikan Sultan Ahmad Riayat Shah (Marhum Tengah) yang mangkat pada tahun 1761, dengan gelaran Sultan Mahmud Shah III.[1] Yang Dipertuan Muda Daeng Kemboja membuat perlantikan dengan meriba Raja Mahmud. Semasa perlantikan, Daeng Kemboja berucap yang maksudnya, "Barang diketahui kiranya oleh suku-suku sebelah Melayu dan Bugis, bahawa sesungguhnya Raja Mahmud inilah Raja Johor dan segala daerah takluknya yang dilantik oleh Bugis sebagaimana melantik nendanya Sultan Sulaiman, iapun demikian jualah. Maka barang siapa yang tiada mematuhi aturan ini, maka pada hari dan waktu inilah kita berhabis-habisan."Daeng Kemboja menghunus pedangnya. Dan tidak ada seorang pun yang hadir berani membantah keinginan Daeng Kemboja. Lalu Raja Mahmud pun dilantik menjadi Yang Dipertuan Besar atau Sultan Johor-Riau-Lingga-Pahang. Oleh kerana baginda masih bayi, maka pemerintahannya dipangku oleh Yamtuan Muda Daeng Kemboja dengan dibantu oleh penolongnya Raja Haji.Daeng Kemboja menunjukkan kekuatan melantik Raja Mahmud sebagai Sultan kerana wujudnya perebutan kuasa antara pembesar Bugis dengan pembesar Melayu. Pembesar Melayu mahukan salah seorang daripada saudara-saudara Al Marhum Sultan Abdul Jalil (Raja di Baroh), sama ada Tengku Abdul Kadir atau Tengku Buang, dilantik Sultan. Sedangkan pembesar Bugis yang dipimpin Yamtuan Muda Daeng Kemboja mahukan adinda Al Marhum Sultan Ahmad Riayat Shah yang baru mangkat, iaitu Raja Mahmud.