Pemerintahan Sultan_Muhammad_V

Sultan Kelantan

Pada 13 September 2010,[2] baginda telah diisytiharkan sebagai Sultan Kelantan ke-29, mengikut Perkara 29A Perlembagaan Negeri yang menyatakan bahawa Sultan tidak boleh lagi menjadi raja jika baginda tidak berdaya maju memerintah selama tempoh lebih daripada satu tahun.[3] Baginda mengambil nama Sultan Muhammad V.[4] Walau bagaimanapun, ayahanda baginda, Sultan Ismail Petra telah mengemukakan petisyen kepada Mahkamah Persekutuan untuk mengisytiharkan pelantikannya tidak mengikut Perlembagaan.[5] Sultan Ismail Petra sedang sembuh daripada strok yang dialaminya pada 14 Mei 2009.[6]

Sultan Muhammad V telah menghadiri Mesyuarat ke-222 Majlis Raja-Raja buat kali pertamanya sebagai ahli penuh pada bulan Oktober 2010. Ini menandakan pengiktirafan kesertaan sebagai Sultan oleh raja-raja lain.[7]

Timbalan Yang di-Pertuan Agong

Pada tanggal 13 Disember 2011, baginda telah dilantik memegang jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Malaysia. Dalam pada itu Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, Sultan Kedah pula ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-14. Istiadat mengangkat sumpah jawatan dijalankan di Istana Negara Kuala Lumpur.[8]

Yang di-Pertuan Agong

Pada 14 Oktober 2016, Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-243 (Khas) di Istana Negara telah memilih baginda untuk dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-15 selepas tamatnya penggal Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah memegang tampuk negara. Pemasyhuran itu berkuat kuasa 13 Disember 2016 untuk tempoh lima tahun.[9]

Pada 24 April 2017, baginda telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-15 dalam upacara penuh adat istiadat yang diadakan di Istana Negara, Jalan Duta, Kuala Lumpur. Pada usia 47, baginda adalah Yang di-Pertuan Agong termuda keempat yang ditabalkan selepas Raja Perlis Tuanku Syed Putra, Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah.[10]

Pada 2 November 2018, pihak Istana Negara memaklumkan bahawa baginda beristirahat menjalani rawatan sehingga 31 Disember 2018. Maka, Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, mengambil alih tugas baginda sebagai Pemangku selaras dengan Perkara 33 dalam Perlembagaan Malaysia sepanjang ketiadaan baginda.[11]

Pada 6 Januari 2019, baginda telah turun takhta kerajaan persekutuan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-15 dan yang menjadikan baginda yang pertama untuk turun takhta kerajaan persekutuan dalam sejarah negara Malaysia.[12][13][14][15]

Rujukan

WikiPedia: Sultan_Muhammad_V http://members.iinet.net.au/~royalty/states/malays... http://tengkusyah.blogspot.be/2012/06/susunan-keka... http://www.astroawani.com/berita-malaysia/sultan-m... http://www.astroawani.com/berita-malaysia/sultan-n... http://bernama.com/bernama/v5/newsindex.php?id=529... http://www.bernama.com/bernama/v5/newsindex.php?id... http://www.malaysiandigest.com/news/36-local/8447-... http://www.mysinchew.com/node/44820 http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&d... http://www.nst.com.my/nst/articles/ConferenceofRul...