Takoyaki
Takoyaki

Takoyaki

Takoyaki (たこ焼き atau 蛸焼) merupakan snek Jepun berbentuk bebola yang diperbuat daripada tepung sadur berasaskan tepung gandum dan dimasak menggunakan kuali takoyaki khas. Ia biasanya diisi dengan sotong kurita yang dikisar atau dipotong dadu, habuk tempura (tenkasu), jeruk halia, dan daun bawang.[1][2] Takoyaki disapu dengan sos takoyaki, sejenis sos yang menyerupai sos Worcestershire, dan mayonis. Takoyaki kemudian ditabur dengan aonori dan parutan ikan tongkol kering (katsuobushi). Terdapat banyak variasi resipi takoyaki. Contohnya, ponzu iaitu sejenis kicap soya dengan dashi dan cuka limau, goma-dare iaitu sos bijan dan cuka ataupun dashi bercuka.Takoyaki mula dipopularkan di Osaka,[3] di mana seorang peniaga gerai bernama Tomekichi Endo diberi penghargaan terhadap penciptaannya pada tahun 1935. Takoyaki diinspirasikan daripada Akashiyaki, sejenis pau bulat kecil dari bandar raya Akashi di Wilayah Hyōgo yang diperbuat daripada tepung sadur dengan telur yang banyak dan sotong kurita.[4] Takoyaki asalnya popular di kawasan Kansai, tetapi kemudiannya merebak ke kawasan Kantō dan kawasan lain di Jepun. Takoyaki dikaitkan dengan gerai makanan tepi jalan yatai, tetapi sudah ada banyak restoran khas takoyaki, terutamanya di kawasan Kansai. Takoyaki kini dijual di kedai-kedai komersial, seperti pasar raya dan kedai serbaneka 24 jam.Yaki berasal daripada perkataan "yaku" (焼く) yang merupakan salah satu kaedah masakan dalam hidangan Jepun, bermaksud "menggoreng atau menggril", dan boleh ditemui pada nama beberapa masakan Jepun dan masakan Korea yang lain seperti teppanyaki, yakitori, teriyaki dan sukiyaki.[5]