Contoh Takwim_qamari-suria

Takwim-takwim Ibrani, Buddha, Hindu,Burma, Benggala, dan Tibet, di samping takwim-takwim tradisional Cina, Jepun, Vietnam, Mongol dan Korea dan juga takwim-takwim kuno Yunani, Coligny, dan Babylon rata-rata berbentuk qamari-suria. Begitu juga, sesetengah takwim pra-Hijrah di Arab Selatan berlandaskan sistem qamari-suria.[1] Takwim-takwim Cina, Coligny dan Ibrani sedikit sebanyak mengikut tahun tropika sementara takwim-takwim Buddha dan Hindu mengikut tahun najam. Oleh itu, takwim-takwim Cina, Coligny danIbrani membayangkan musim sementara takwim-takwim Buddha dan Hindu membayangkan kedudukan bulan purnama dengan buruj. Takwim Tibet dipengaruhi oleh takwim Cina dan Hindu.

Takwim Hijrah merupakan takwim qamari, tetapi bukan takwim qamari-suria kerana tariknya tidak berkaitan dengan matahari. Takwim-takwim Julius dan Gregory pula adalah takwim suria kerana tarikh-tarikhnya tidak menandakan fasa bulan; namun demikian, takwim-takwim Gregory dan Julius turut merujuk pada fasa bulan untuk menghitung hari Easter.