Penerbitan Talentime

Filem ini merupakan filem terakhir arahan Yasmin Ahmad sebelum beliau meninggal dunia.

Filem Talentime diusahakan oleh Chilli Pepper Films bersama Primeworks Studios, sebenarnya merupakan filem cetera kelima arahan Yasmin Ahmad selepas filem Sepet, Gubra, Mukhsin, dan Muallaf (yang dilaporkan tidak mungkin dipasarkan di Malaysia kerana Yasmin tidak setuju beberapa babak dipotong yang dikhuatiri menjejaskan jalan cerita).

Apabila ditanya tentang pandangan peribadinya terhadap filem ini, Yasmin berkata, "Memang saya begitu bertuah dan saya bersyukur kerana mempunyai pasukan yang cukup hebat untuk menghidupkan Talentime. Sudah lama saya mahu bekerja dengan Azean, Jit dan Sukania yang memang saya hormati dan kagumi dengan bakat mereka. Begitu juga dengan pelakon baru yang mempunyai karisma dan bakat yang cukup hebat membuatkan saya tabik dan percaya mereka adalah bakat pelapis di negara ini. Apabila mereka bersetuju untuk berlakon dalam filem Talentime, ia adalah satu penghormatan tertinggi buat diri saya. Maka dengan itu, tiada apa lagi yang mampu saya lafazkan."[1]

Beralih kepada barisan pelakon, Mahesh Jugal Kishor yang memegang watak Mahesh mengakui sukar membawa watak tersebut kerana menghadapi dugaan menguasai bahasa isyarat. Ulasnya, "Saya bergaul bersama orang cacat pendengaran untuk memahami dunia mereka. Daripada berhubung bersama mereka, saya terpesona kerana mereka lebih banyak mempunyai perasaan dan ekspresi. Segala ekspresi mereka adalah pada wajah mereka."[2]

Mohd Syafie Naswip yang memegang watak Hafiz, ketika ditanya mengenai hubungan kerjanya bersama Azean Irdawaty, berkata: "Pada hari pertama penggambaran, saya masih tidak yakin boleh menjayakan babak-babak bersama Kak Yan. Sukar untuk menangani kenyataan bahawa saya berkongsi babak bersama Azean Irdawaty, apalagi babak yang sukar dilakukan. Beliau mengajar saya agar mengambil langkah demi selangkah, lama-kelamaan berjaya jua."[3]

Memandangkan filem Talentime merupakan karya bercorak muzikal yang lagu-lagunya sudah disediakan oleh artis nyanyian, maka pelakon yang memainkan watak bernyanyi perlu menyegerakkan bibir mereka mengikut lagu-lagu berkenaan dari menyanyikannya sendiri. Yasmin dilaporkan kagum dengan kebolehan Syafie "menyanyikan" lagu I Go (vokal Aizat) dalam babak kemuncak pertandingan Talentime, menyatakan "para hadirin menitiskan air mata menonton persembahannya."[3]

Berkaitan

Rujukan

WikiPedia: Talentime http://star-ecentral.com/news/story.asp?file=/2009... http://star-ecentral.com/news/story.asp?file=/2009... http://www.talentimethemovie.com http://www.guamuzik.com.my/album_detail/album_main... http://www.sinemamalaysia.com.my/main/clippingnews... http://www.sinemamalaysia.com.my/main/index.php?mo... http://www.tupai.com.my/movies/movie.aspx?search=2... http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt... http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt... http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt...