Morfologi Tatabahasa_bahasa_Melayu

Morfologi ialah bidang yang mengkaji struktur, pembentukan kata dan golongan kata. Dalam morfologi, unit terkecil yang mempunyai makna dan tugas nahu ialah morfem. Para pelajar juga perlu mengetahui maksud istilah morfem dan kata. Ini kerana kedua-dua adalah berbeza dari segi fungsi dan konsep.

Morfem

Morfem ialah unit terkecil yang menjadi unsur perkataan. Sekiranya kata tidak boleh dipecahkan kepada unit bermakna atau nahu yang lebih kecil, maka kata-kata ini terdiri daripada satu unit atau satu morfem.

Misalnya "minum". "Minum" tidak akan berfungsi dan memberi makna jika dipecahkan kepada mi dan num. Sebaliknya, kata "diminum" boleh dipecahkan kepada dua morfem, iaitu "di" dan "minum". Kesimpulannya, perkataan boleh terdiri daripada beberapa morfem.

Morfem boleh dibahagi kepada dua, iaitu morfem bebas dan morfem terikat.

Morfem BebasMorfem terikat/imbuhan
Dapat berdiri sendiri, misalnya:
  minum, cuti, sekolah, periksa
Bentuk imbuhan, misalnya:
  mem, per, kan, ber
Mempunyai maksud sendiri.Tidak mempunyai makna tetapi mempunyai fungsi tatabahasa atau nahu. Boleh mengubah makna sesuatu kata dan seterusnya makna ayat.

Morfem terikat/imbuhan

Morfem terikat/imbuhan boleh dibahagi seperti berikut:

  • Awalan. Ditambah pada bahagian depan kata dasar. Misalnya membaca, menghafal.
  • Akhiran. Ditambah pada bahagian belakang kata dasar. Misalnya perkataan "undian, minuman"
  • Sisipan. Diselit di antara unsur unsur kata dasar. Misalnya telapak (tapak)
  • Apitan. Ditambahkan serentak pada awalan dan akhiran kata dasar. Misalnya, imbuhan per....an dalam permainan.

Proses terbentuknya ayat bermula daripada morfem

MORFEM --> PERKATAAN --> FRASA --> KLAUSA --> AYAT

Proses pembentukan kata

    Maklumat selanjutnya: Pembentukan kata

Golongan kata

    Maklumat selanjutnya: Golongan kata (bahasa Melayu)

Dalam bahasa Melayu, terdapat dua kata kumpulan, iaitu kata isian dan kata tugas. Kata isian ialah kumpulan kata yang terbuka dan sentiasa berkembang. Kata tugas pula ialah kumpulan kata tertutup contohnya dan, itu, amat, walaupun dan sebagainya.