Tekanan_(linguistik)

Dalam bidang linguistik, terutamanya fonologi, tekanan atau aksen merupakan penekanan yang diberikan kepada suku kata tertentu, atau perkataan tertentu dalam frasa atau ayat. Penekanan ini biasanya disebabkan oleh sifat-sifat seperti kelantangan dan kepanjangan vokal, artikulasi penuh vokal, dan perubahan pada pic.[1][2] Istilah tekanan dan aksen sering disamakan dalam konteks ini, tetapi ada kalanya dibezakan ertinya. Sebagai contoh, penekanan terhadap pic sahaja ia dipanggil aksen pic, manakala penekanan yang terhasil daripada kepanjangan sahaja dipanggil aksen kuantitatif.[3] Yang disebabkan oleh gabungan pelbagai sifat yang diperhebat pula dipanggil aksen tekanan atau aksen dinamik. Memandangkan tekanan dapat diwujudkan melalui pelbagai sifat fonetik seperti kelantangan, kepanjangan vokal, dan pic, yang juga digunakan untuk fungsi-fungsi linguistik lain, sukar untuk menentukan stres dari segi fonetik semata-mata. Tegasan yang diletakkan pada suku kata dipanggil tekanan perkataan atau tekanan leksikal. Sesetengah bahasa mempunyai tekanan tetap yang bermaksud bahawa tekanan pada hampir setiap perkataan berbilang bahasa jatuh pada suku kata tertentu, seperti yang terakhir (contohnya bahasa Poland) atau yang pertama. Bahasa-bahasa lain yang mana tekanan sukar diduga daripada itu seperti bahasa Inggeris dan Rusia mempunyai tekanan yang berubah-ubah. Ada kalanya dapat dikenal pasti lebih daripada satu tahap tekanan, seperti tekanan primer dan tekanan sekunder. Walau bagaimanapun, sesetengah bahasa, seperti bahasa Perancis dan Mandarin, didapati langsung tiada tekanan leksikal. Tekanan yang diletakkan pada kata-kata dalam ayat dipanggil tekanan ayat atau tekanan prosodi. Ini adalah salah satu daripada tiga komponen prosodi di samping dengan irama dan intonasi. Ini termasuk tekanan frasa (penekanan baku bagi kata-kata tertentu dalam frasa atau klausa), dan tekanan kontras (digunakan untuk memberikan penekanan khusus kepada suatu perkara, baik suatu kata, mahupun sebahagian kata).