1945 Tentera_Darat_Ke-4_Panzer

Pada Januari 1945, Tentera Darat Ke-4 Panzer memegang kedudukan statik defensif atas arahan terus Hitler dan semasa keredaan dalam pertempuran ia mewujudkan zon defensif di selatan Poland.

Tentera Jerman tidak mengetahui yang pihak Soviet merancang untuk memusnahkan seluruh zon defensif dengan pengeboman artileri. Tentera Soviet memulakan Penyerangan Vistula–Oder mereka pada 17 Januari dan menyerang dengan penuh kekuatan dan kepantasan sehingga mereka berjaya mengepung dan menghancurkan Kor LVI Panzer; memusnahkan separuh dari kekuatan pasukan armor milik Tentera Darat Ke-4 Panzer. Panglima Kor LVI, Jeneral Johannes Block, terbunuh dalam serangan itu pada 26 Januari. Saki baki Ketumbukan Panzer berundur bersama seluruh barisan sebelum berkumpul semula ditebing barat Sungai Oder pada Februari 1945.

Pihak Soviet menghentikan ofensif mereka pada Februari 1945. Tentera Darat Ke-3 Panzer diberi tugas menghentikan tentera Soviet di utara, manakala Tentera Darat Ke-9 mengawas tentera Soviet di bahagian tengah. Pada Februari 1945, Tentera Darat Ke-4 Panzer mempertahankan seluruh Sungai Oder, menyekat pangkalan terdepan Soviet di Steinau dekat Oder. Pada Mac dan awal April 1945, ketumbukan ini tertumpu pada pertahanan disepanjang Sungai Lusatian Neisse antara Görlitz dan Guben.[5]

Pada 16 April 1945, pihak Soviet memperbaharui ofensif mereka dengan menyeberangi Sungai Oder. Sewaktu Tentera Darat Ke-9 mengekang tentera Soviet dalam Pertempuran Seelow Heights, Tentera Darat Ke-4 Panzer telah ditolak kembali. Kor V dari Tentera Darat Ke-4 Panzer yang berundur telah ditolak ke kawasan operasi Tentera Darat Ke-9 Jerman, membentuk sebuah kelompok yang berjumlah 80,000 askar. Pihak Soviet kemudian mengepung pasukan ini didalam kelompok di Spree Forest selatan Seelow Heights dan barat Frankfurt.[6] Beberapa pasukan Tentera Darat Ke-4 Panzer yang terperangkap dalam Kelompok Halbe dapat melolos keluar ke barat dan menyerah kepada Tentera Darat A.S. di tebing barat Sungai Elbe, tetapi sebahagian besar Tentera Darat Ke-4 Panzer telah ditolak ke selatan Dresden masuk ke Pergunungan Ore dan terpaksa menyerahkalah kepada tentera Soviet pada awal Mei 1945 di ambang Penyerangan Prague.