Promosi Terukir_Di_Bintang

Single utama album ini, Terukir Di Bintang turut diperdengarkan kepada media pada majlis pelancarannya; dan lagu ini kemudiannya mula dimainkan oleh radio-radio tempatan pada hari berikutnya. Pun begitu, promosi bagi album kedua Yuna ini sebenarnya sudah bermula lebih awal. Klip video untuk lagu Memo sudah mula dimuatnaik ke laman YouTube pada pertengahan tahun 2011[4]. Pada malam penganugerahan Anugerah Industri Muzik ke-18 yang berlangsung pada 12 November 2011, Yuna yang turut diberikan slot persembahan telah memperdengarkan lagu 'Memo' buat pertama kali menerusi siaran langsung televisyen. Sungguhpun begitu, 'Memo' tidak diedarkan dan dikeluarkan sebagai single.

Tiga lagu yang terdapat dalam album ini juga sudah dipasarkan lebih awal di Amerika Syarikat. Lagu 'Someone Out of Town', 'Coffee' dan 'Fears And Frustrations' juga dimuatkan dalam EP Decorate yang dikeluarkan khas untuk pasaran barat pada 15 Mac 2011.

Pada satu sidang media di Kuala Lumpur, Yuna mengumumkan kerjasamanya dengan pihak Samsung Malaysia bagi penghasilan video klip untuk lagu terbarunya, Sparkle. Kerjasama dan projek yang diberi nama The Sparkle Project[5] ini akan menyaksikan penghasilan muzik video pertama menggunakan produk Samsung, Galaxy Note.[6] Setelah hampir tiga bulan, akhirnya video muzik ini dilancarkan pada 21 Mei 2012.[7]