Permainan The_Elder_Scrolls_V:_Skyrim

The Elder Scrolls V: Skyrim ialah sebuah permainan berperanan aksi, yang boleh dimainkan dengan perspektif diri-pertama atau diri-ketiga. Pemain bebas mengembara di seluruh kawasan Skyrim, yang merupakan sebuah persekitaran dunia terbuka yang terdiri daripada perhutanan, kubu, kota, pekan, perkampungan.[1] Pemain boleh mengemudi kawasan permainan lebih cepat dengan menunggang kuda, atau memanfaatkan sistem kembara-cepat yang membolehkan pemain untuk meleding ke lokasi yang pernah ditemui.[2] Misi utama permainan boleh diselesaikan atau diabaikan pemain selepas peringkat pertama misi selesai. Walau bagaimanapun, beberapa misi memerlukan plot utama untuk sekurang-kurangnya separuh siap. Watak bukan pemain (NPC) mengisi dunia dan pemain boleh berinteraksi dengan bererapa cara; pemain boleh berbual, berkahwin dengan NPC yang layak, membunuh dan bergaduh dengan mereka. Seperti permainan The Elder Scrolls sebelumnya, pembunuhan sesetengah NPC boleh menyebabkan pemain tidak dapat memperolehi sebahagian misi atau item. Sebahagian NPC lagi tidak boleh dibunuh. Jenayah seperti bunuh dan curi akan menyebabkan pemain mendapat penalti jika terdapat saksi. Penalti ini dipantau secara berasingan di setiap daerah Skyrim. Mereka boleh memadam penalti mereka dengan membayar emas atau menjalani hukuman penjara. Mereka juga boleh menentang penahanan yang akan mencetuskan tindakan agresif si penahan. NPC boleh memberi pemain misi sampingan tambahan dan beberapa misi sampingan mempunyai parameter yang diubah suai berdasarkan lokasi kubu berdekatan yang belum ditemui pemain.[3] Beberapa NPC yang berkawan dengan ataupun diupah oleh pemain mungkin akan menemani pemain dan memberi pertolongan dari segi pertempuran.[4] Pemain boleh memilih untuk menyertai kumpulan, yang diaturkan oleh sekumpulan NPC—sebagai contoh, Dark Brotherhood, sekumpulan pembunuh upahan.[5] Setiap golongan mempunyai misi berkaitan untuk dimajukan. Setiap kota dan pekan di dunia permainan mempunyai pekerjaan yang boleh dilibatkan diri pemain seperti pertanian.[6]

Pemain mempunyai pilihan untuk membangunkan watak mereka. Pada awal permainan, pemain membina watak mereka dengan memilih jantina dan bangsa, termasuk manusia, orc, bunian dan kucing antropomorfik atau makhluk serupa biawak, dan mengubahsuai rupa watak mereka. Sepanjang permainan, pemain meningkatkan kemahiran watak mereka, yang dilambangkan sebagai angka yang akan mengukur kebolehan mereka dalam bidang tertentu. Terdapat 18 kemahiran yang terdapat dalam permainan ini dan mereka dibahagikan sama rata kepada tiga bahagian sekolah (pertempuran, kesaktian dan penyelinapan). Apabila pemain mempunyai latihan yang cukup dan menemui syarat pengalaman, watak mereka akan naik tahap. Setiap kali pemain meningkat tahap, pemain boleh memilih sebuah kebolehan khusus atau faedah (perk). Pemain juga boleh menyimpan mata faedah untuk kegunaan masa hadapan. Permainan dahulu siri The Elder Scrolls menggunakan sistem kelas watak untuk menentukan kemahiran yang menyumbang dalam peningkatan tahap pemain. Bagaimanapun, Skyrim memberi kebebasan kepada pemain untuk mengetahui kemahiran kegemaran mereka semasa permainan berlangsung dan memberi ganjaran berupa pengalaman yang lebih sekiranya mereka tingkatkan tahap kemahiran yang kerap digunakan. Paparan pemantau (HUD) muncul apabila mana-mana di antara tiga ciri utama (nyawa, kuasa sakti, dan stamina) berkurangan. Ciri-ciri tersebut menjana semula dari masa ke semasa, dan pemain boleh mempercepatkan proses ini dengan mengambil ramuan ubat ataupun mantera regenerasi. Nyawa berkurangan apabila pemain menerima kesakitan, dan kehabisan seluruh nyawa akan menyebabkan kematian. Kuasa sakti berkurangan dengan penggunaan mantera, sesetengah racun dan diserang serangan kilat. Stamina menentukan keberkesanan pemain dalam pertempuran. Ia berkurangan apabila pemain memecut, melakukan serangan kuasa berat dan diserang serangan beku. Inventori pemain boleh diakses dari menu dan item boleh dipaparkan secara 3D, yang mungkin penting dalam menyelesaikan teka-teki yang ditemui di ruangan bawah tanah.

Keberkesanan pemain dalam pertempuran bergantung kepada penggunaan senjata, perisai serta penggunaan mantera. Senjata dan perisai boleh dibeli, ditemui, dan dibina di bengkel manakala mantera boleh dibeli atau dibuka kunci dengan mencari buku mantera. Senjata dan kesaktian ditetapkan di setiap tangan, membenarkan dwi-pegang, dan boleh ditukar dengan menggunakan menu mudah-akses item kegemaran. Sesetengah senjata (atau mantera tahap tinggi) memerlukan kedua-dua tangan. Perisai tangan boleh digunakan untuk melindungi daripada serangan musuh dan mengurangkan kesakitan, atau menyerang dengan serangan hentaman.  Senjata tumpul, bilah dan paut digunakan untuk pertempuran jarak dekat dan setiap jenis mempunyai kelebihan masing-masing, contohnya; pemain boleh melakukan serangan berkuasa dengan setiap senjata. Mantera ada pelbagai fungsi, seperti regenerasi nyawa pemain, menyerang musuh, mengelirukan musuh atau makhluk, membangunkan mayat secara sementara, menjampi cahaya dan mengubah besi ke perak.  Busur dan anak panah boleh dimanfaatkan untuk pertempuran jarak jauh. Namun begitu, sebagai pertahanan, busur juga boleh dijadikan sebagai senjata melee untuk pertempuran jaraj dekat, dengan "menghentam". Pemain boleh masuk mod menyelinap dan mencopet, atau melakukan serangan selinap yang agak kuat kepada musuh yang tidak curiga.

Semasa meneroka dunia permainan, pemain boleh bertembung dengan hidupan liar. Kebanyakan makhluk di kawasan luar dunia permainan akan segera bermusuhan dengan pemain.  Namun, binatang buruan seperti rusa hanya akan melarikan diri. Skyrim adalah permainan pertama dalam The Elder Scrolls yang mempunyai naga dalam dunia permainan. Seperti makhluk lain, naga dijana secara rambang di dalam dunia dan akan terlibat dalam pertempuran dengan NPC, makhluk lain dan pemain. Sesetengah naga mungkin akan menyerang kota dan pekan berhampiran mereka . Watak pemain boleh menyerap naga agar dapat menggunakan mantera kuat iaitu "jeritan naga", atau "Thu'um". Setiap jeritan mempunyai tiga perkataan dalam bahasa naga. Kekuatan jeritan akan berbeza-beza bergantung kepada jumlah perkataan yang dilafaz. Perkataan yang digunakan untuk jeritan boleh dipelajari dengan melawat "dinding perkataan" di ruangan bawah tanah atau persekitaran luar Skyrim. Perkataan untuk setiap jeritan dibuka kunci dengan menyumbangkan jiwa naga yang ditumpaskan pemain. Tempoh penjanaan menghad penggunaan jeritan pemain dalam permainan.