Biografi Tomoyuki_Yamashita

Yamashita dilahirkan di sebuah perkampungan kecil bernama Osugi Mura di Pulau Shikoku pada 8 November 1885. Selepas lulus dari Akademi Kadet dalam tahun 1905, Yamashita menghadiri Maktab Peperangan Tentera Darat (Army War College (Japan)) dalam tahun 1913 hingga tahun 1916. Dalam tahun-tahun 1919 hingga 1922, Yamashita ditugaskan sebagai Atase Pertahanan di Berlin, Jerman dan di Bern, Switzerland.

Lt Jen Yamashita (duduk, tengah) menumbuk meja dengan tangannya untuk memaksa Panglima British Lt Jen Percival untuk menyerah kalah. (Foto Imperial War Museum).

Walaupun dia berkebolehan, Yamashita tidak disenangi oleh pucuk pimpinan Tentera kerana penglibatan beliau dalam kumpulan pendesak dalam tahun 1920-an dan 1930-an. Yamashita berselisihan faham dengan Menteri Perang (Menteri Pertahanan) Hideki Tojo yang memimpin kumpulan "Control Faction" yang menjadi saingan utama kepada kumpulan "Imperial Way" yang menjadi ikutan Yamashita.

Yamashita juga tidak disukai oleh Maharaja Showa kerana telah membuat rayuan belas kasihan daripada Maharaja ke atas kumpulan pegawai yang memberontak dalam Kejadian 26 Februari 1936 (Pemberontakan Pegawai-Pegawai Muda). Yamashita juga mendesak supaya Jepun meninggalkan wilayah China dan untuk mengadakan perhubungan baik dengan Amerika Syarikat dan Britain. Ini menyebabkan Yamashita tidak diambil peduli dan ditugaskan ke jawatan tidak penting dalam Tentera Kwangtung .

Dari tahun 1938 hingga 1940, Yamashita menjadi panglima Divisyen Ke-4 Infantri dan terlibat dalam operasi pembasmian pemberontakan di China yang menentang penjajahan Jepun. Dalam bulan Disember 1940, Yamashita dihantar menjalankan tugasan sulit ke Jerman dan Itali di mana dia berjumpa dengan Hitler dan Mussolini

Malaya dan Singapura

Rencana utama: Pertempuran Malaya
Kempen Di Malaya berkesudahan dengan kekalahan Tentera British seramai lebih 130,000 orang oleh 30,000 orang askar Jepun dan menaikkan nama Yamashita

Kempen penaklukan Semenanjung Tanah Melayu dan penaklukan Singapura diiringi oleh banyak kejadian kekejaman yang dilakukan oleh askar-askar Jepun seperti Pembunuhan beramai-ramai di Parit Sulong melibatkan ratusan askar Australia dan India yang cedera dibunuh oleh askar-askar dari Divisyen Pengawal Imperial Jepun, pembunuhan kakitangan dan pesakit di Hospital Tentera Alexandra, Pembunuhan beramai-ramai Sook Ching di mana lebih 5,000 orang awam berbangsa Cina dibunuh secara sistematik sebagai pembersihan elemen-elemen yang memusuhi Jepun di kalangan masyarakat tersebut. Penglibatan Yamashita di dalam perlaksanaan kekejaman ini masih menjadi bahan perbahasan.

Pad 17 Julai 1942, Yamashita dihantar dari Singapura ke Manchuria sebagai Panglima Tentera Darat Pertama Jepun, dan dengan ini terasing daripada sebahagian besar Perang Pasifik. Pengasingan Yamashita sekali lagi disebabkan oleh permusuhan Perdana Menteri Hideki Tojo, yang menggunakan kesilapan Yamashita semasa berucap di Singapura sebagai alasan pengasingannya. Yamashita tersilap cakap apabila memanggil rakyat di Singapura sebagai “rakyat empayar Jepun” sedangkan Kerajaan Jepun tidak menganggap rakyat jajahan takluknya sebagai rakyat Jepun dan tidak diberikan hak dan keistimewaan yang diberikan kepada rakyat Jepun..

Filipina

Jeneral Tomoyuki Yamashita (kiri) bersama Mejar Polis Tentera Mejar Kenworthy (kanan) in Manila, 1945

Dalam tahun 1944, apabila keadaan perang semakin getir di Jepun, Jeneral Yamashita dijadikan panglima Ketumbukan Tentera Ke-14 yang ditugaskan mempertahankan Filipina. Tentera Amerika Syarikat mendarat di Teluk Leyte 10 hari selepas ketibaan Yamashita di Manila. Pada 6 Januari 1945, ketumbukan tentera ke-6 Amerika Syarikat mendarat di Teluk Ligayen di Pulau Luzon

Yamashita memerintah 262,000 orang anggota tentera yang dibahagikan dalam 3 kumpulan pertahanan. Yamashita berusaha menyusun semula tenteranya tetapi terpaksa berundur dari Manila ke kawasan pergunungan di utara Luzon. Selepas berundur dari Manila, anggota Tentera Jepun membunuh lebih daripada 100,000 orang awam Filipina dalam Pembunuhan beramai-ramai Manila semasa peperangan sengit rumah ke rumah di antara tempoh 4 Februari 1945 hingga 3 Mac 1945.

Yamashita menggunakan taktik berlengah untuk mengekalkan pasukan tenteranya di Kiangan, sebahagian daripada Wilayah Ifugao sehingga 2 September 1945 apabila Jepun menyerah kalah. Tenteranya, kini berjumlah kurang daripada 50,000 orang menyerah kalah kepada Jeneral Arthur Percival (Panglima Markas Gerakan Tanah Melayu) dan Jonathan Wainwright (Panglima Tentera Amerika di Bataan semasa saat penyerahan kalah tahun 1942). Walaupun dia disangkakan akan melakukan Seppuku sebelum saat menyerah kalah, Yamashita sendiri tidak melakukan Seppuku dengan alasan “orang lain akan perlu bertanggungjawab” [1]

Jeneral Yamashita semasa Perbicaraan