Kegunaan Tongkat_ali

Tongkat ali terkenal kerana mempunyai kesan afrodisiak (penggalak seks). Secara tradisi, tongkat ali digunakan untuk merawat beberapa jenis penyakit dan meningkatkan kesihatan termasuk pening kepala, kurap, disentri, bengkak, antitumor, antiradang dan antioksida. Eurikomanone, eurikomalaktone dan eurikomanol (quassinoids) yang banyak terdapat dalam akarnya merupakan kandungan kimia penting industri. Penyelidikan menunjukkan bahawa bahan kimia (fitokimia) yang terdapat dalam tongkat ali boleh meningkatkan paras testosteron iaitu hormon yang diperlukan untuk fungsi seksual lelaki.[2]

Minuman tongkat Ali

British Journal of Sports Medicine pernah menerbitkan keputusan kajian saintifik pada 2003, yang menunjukkan Eurycoma longifolia mengakibatkan peningkatan saiz dan kuasa otot berbanding placebo. Ini mungkin menunjukkan ciri-ciri anabolik pada tongkat ali. Bagaimanapun, kajian lanjut diperlukan. Sesetengah atlet dan bina badan kini menggunakan hasilan tongkat ali dengan harapan ia akan bertindak sebagai penguat testosterone, bagi meningkatkan saiz otot dan prestasi tanpa dadah.

Tongkat ali dijual dalam pelbagai ratio hasilan, dengan 20:1, dan 100:1. Secara tradisi hasilan tongkat ali diambil dengan menggunakan air dan bukannya ethanol. Laporan toxikologi telah membuktikan bahawa tongkat ali hasilan air adalah selamat. Sesetengah pengilang mungkin memilih bagi menggunakan ethanol bagi menghasilkan lebih banyak sebatian aktif. Bagaimanapun, jika pengilang mendakwa menghasilkan lebih 200:1 hasilan, pastikan anda meminta laporan toxikologi untuk memastikan ia selamat digunakan.

Sebatian aktif dalam tongkat ali adalah Glyco Saponins dan Eurypeptides. Eurypeptides adalah rantaian besar asid amino yang bertanggungjawab bagi kesan peningkatan testosterone dalam tongkat ali. Ia juga penting bagi mengesahkan jika hasilan tongkat ali mengandungi tambahan maltodextrine atau sebarang pengisi lain. Sesetengah syarikat mungkin menambah sehingga 75% pengisi dan hanya 25% hasilan sebenar.

Menerusi kemajuan teknologi dan kajian saintifik, kini tongkat ali digunakan sebagai antara bahan utama di dalam pelbagai produk minuman, terutama kopi. Herba ini juga banyak dipasarkan dalam bentuk kapsul.