Sejarah UPB-MyTeam

Idea

Ahli politik Malaysia, Khairy Jamaluddin dan DJ radio Jason Lo adalah orang-orang di sebalik tabir pembentukan MyTeam. Ideanya adalah untuk mendapatkan 22 pemain bukan profesional yang dipilih daripada ujian pemilihan yang diadakan merentas Malaysia bagi bertanding merentasi skuad kebangsaan Malaysia.

Idea ini telah diwar-warkan sebagai satu revolusi bola sepak tempatan dan satu kempen media besar-besaran telah dilancarkan untuk menarik minat di kalangan muda-mudi untuk mencungkil bakat mereka. Perlancaran program ini telah dilakukan di Planet Hollywood, Kuala Lumpur .

Pemilihan

Cara memilih pemain dalam MyTeam adalah seperti berikut:

  • Pemain yang tidak menggunakan bola sepak sebagai kerja utama;
  • Berumur 17 tahun ke atas;
  • Boleh berlari 100m dalam 12 saat.

Krew MyTeam telah menjelajah ke 13 buah negeri di Malaysia untuk memilih tiga pemain terbaik di setiap negeri yang mereka kunjungi untuk diserapkan ke Bukit Jalil. Antara 39 permain yang berjaya menyertai MyTeam, hanya 22 yang berjaya masuk ke senarai terakhir pasukan MyTeam.

Perlawanan

Perlawanan antara MyTeam dan pasukan Malaysia, telah berlangsung pada 28 Mei 2006 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Perlawanan bermula pada pukul 8.45 malam. Menjelangnya perlawanan tersebut, satu kontoversi telah berlaku di mana Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada masa itu, Datuk Seri Dr Ibrahim Saad mengatakan MyTeam hanyalah pasukan 'mee segera'.

Terdapat juga satu spekulasi mengenai "pasukan kebangsaan" yang akan bermain menentang MyTeam. Sebahagian memberi petunjuk bahawa FAM akan menghantar pasukan bawah 20 tahun untuk bermain menentang MyTeam. Manakala segelintir peminat mengatakan bahawa pasukan utama Malaysia akan hadir. Akhirnya, pasukan "Malaysia" yang bermain menentang MyTeam adalah merupakan satu campuran pemain senior dan bawah 20 tahun yang diuruskan oleh K. Rajagopal iaitu jurulatih pasukan bawah 20 tahun Malaysia.

MyTeam memeranjatkan Malaysia dengan mendahului pada awal babak pertama sebelum tewas dengan jaringan Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Farderin Kadir. Dalam perlawanan tersebut juga menyaksikan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak di buang padang.

Selepas Perlawanan

Perlawanan ini telah menarik minat kebanyakan peminat bola sepak Malaysia, namun masih ada yang meragui bahawa program MyTeam akan "merevolusikan bola sepak Malaysia".

Sungguhpun menang dalam perlawanan ini, namun persembahan pasukan Malaysia dikatakan agak hambar jika dibandingkan dengan sebuah pasukan amatur berlawan dengan mereka.

Berkaitan