Pengkhutbah Vincent_van_Gogh

Sebagai seorang pemuda, hasrat Van Gogh yang terkuat ialah untuk membantu sesama manusia. Sebagai anak kepada seorang paderi, beliau sudah tentunya memilih jalan keagamaan. Dengan itu pada tahun 1878, Van Gogh memohon untuk memasuki sekolah teologi, tetapi ditolak. Beliau kemudian menjadi paderi tak terlatih dan berjimat makan dan keperluan hidup agar dapat menyimpan wang untuk diberikan kepada orang miskin. Sekiranya Van Gogh berjaya menjadi pengkhutbah, seperti yang dicubainya selama beberapa tahun, beliau mungkin boleh melakar dan melukis sebagai hobi, tetapi sudah pastinya bahawa beliau tidak akan menjadi seorang pelukis.

Rumah yang Van Gogh bertinggal di Cuesmes dari Ogos 1879 hingga Oktober 1880; adalah ketika tinggal di sini bahawa beliau memutuskan untuk menjadi seorang pelukis.

Misi khutbah Van Gogh merupakan satu kegagalan yang berpunca daripada usahanya yang keterlaluan. Pada usia 25 tahun, ketika beliau berkhutbah di kalangan petani dan pelombong arang batu di Borinage di selatan Belgium, perwatakannya yang penuh semangat dan amalan ajaran Kristian secara bulat-bulat, menyebabkan beliau memusuhi pegawai atasannya, dan ini kemungkinannya menakutkan orang-orang yang dibantuinya. Meskipun, beliau ingin membantu sesama manusia, beliau tidak pandai mengendalikan perhubungan sosial. Oleh itu, ketika berumur 27 tahun, beliau memilih untuk menggunakan seni sebagai cara untuk meluahkan perasaan. Punca utama Van Gogh menjadi sebagai seorang pelukis adalah bahawa beliau boleh mencurahkan perasaannya melalui seni. Jika beliau tidak boleh meringankan kesengsaraan peladang Belanda yang miskin, sekurang-kurangnya beliau boleh menunjukkan simpatinya melalui lakaran dan lukisan. Mungkin juga ini adalah cara Van Gogh mendekati dirinya dengan Tuhan dan dalam suasana sebeginilah, kemahiran seninya terbentuk.

Dalam jangka hayatnya yang pendek, Van Gogh menulis hampir seribu pucuk surat, selalunya sebanyak beberapa pucuk sehari. Kebanyakannya ditujukan kepada adik lelakinya Theo, mungkin satu-satunya orang yang memahami dirinya. Hanya kepada Theo, Van Gogh dapat menggambarkan perasaan yang membuak-buak di dalam dirinya. Surat-surat itu yang disimpan oleh isterinya, dianggap luar biasa; pengkritik-pengkritik kesusasteraan telah membandingkannya dengan hasil penulisan "Pengakuan" oleh pakar agung Rusia abad ke-19. Tetapi walaupun Van Gogh menulis dengan penuh perasaan, beliau kelihatannya merasakan bahawa luahan kata-kata tidak dapat menggantikan luahan melalui lukisan.