Ringkasan Wira_Angkasa

Filem ini mengisahkan Iskandar Muhammad (Sabree Fadzil) yang merupakan anak seorang pesawah bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang juruterbang selepas tamat pengajian. Manakala Redzuan Mazlan adalah anak seorang jeneral bersara TUDM yang hidup bersosial. Ayahnya inginkan beliau mengikuti jejak langkahnya menyertai TUDM, namun ditolak Redzuan kerana beliau ingin kariernya sendiri dan sikapnya telah menyebabkan dia dan kakaknya berselisih faham. Redzuan juga mempunyai seorang teman wanita iaitu Norli (Noreen Noor), seorang penyanyi yang juga mempunyai sikap bersosial seperti teman lelakinya. Aini (Aznah Hamid), sepupu Iskandar menyimpan perasaan terhadap Iskandar, namun Iskandar menolaknya kerana beliau lebih menganggap Aini sebagai adiknya sendiri. Selepas kejadian kemalangan yang menyebabkan Redzuan mengubah pendiriannya dan mengikuti kemahuan ayahnya menyertai TUDM.

Semasa menyertai TUDM, Iskandar berkenalan dengan Redzuan. Norli berkenalan pula dengan Iskandar selepas menghadiri majlis tamat latihan pegawai-pegawai TUDM. Persahabatan antara Iskandar dan Redzuan yang pada mulanya erat tiba-tiba renggang akibat perselisihan faham berpunca daripada Redzuan mencintai Aini yang merupakan sepupu Iskandar. Kemudian berbaik semula selepas berlaku satu insiden di mana Iskandar hampir ditawan oleh sekumpulan pengganas yang melepaskan diri dari serangan udara TUDM. Beliau berjaya diselamatkan oleh Redzuan yang datang bersama anggota komando TUDM. Semasa dirawat di hospital tentera, Iskandar meluahkan hasratnya kepada ibunya untuk mengahwini Norli, manakala Redzuan merancang untuk mengahwini Aini.