Zork

Zork ialah sebuah permainan pengembaraan berasaskan teks yang diterbitkan pada tahun 1977 oleh pengaturcara Tim Anderson, Marc Blank, Bruce Daniels, dan Dave Lebling untuk komputer kerangka utama jenis PDP-10 . Pengaturcara asal dan ahli kumpulan lain yang bergabung sebagai syarikat Infocom, mengembangkan dan membahagikan permainan kepada tiga tajuk — Zork I: The Great Underground Empire, Zork II: Wizard of Frobozz, dan Zork III: The Dungeon Master — yang dikeluarkan secara komersial untuk pelbagai jenis komputer peribadi bermula pada tahun 1980. Di dalam permainan Zork, pemain meneroka peninggalan Empayar Bawah Tanah Besar untuk mencari harta karun. Pemain bergerak melalui ratusan lokasi permainan dan berinteraksi dengan objek melalui taipan arahan dalam bahasa semula jadi (natural language) yang ditafsirkan oleh program permainan. Program ini bertindak sebagai pencerita, menerangkan lokasi pemain dan hasil arahan pemain. Zork telah digambarkan sebagai sebuah karya fiksyen interaktif yang paling terkenal.Program permainan yang asal dibangunkan diantara tahun 1977 dan 1979 di Massachusetts Institute of Technology (MIT). Permainan ini asalnya diilhamkan daripada Colossal Cave Adventure (1976) yang merupakan salah satu contoh permainan fiksyen interaktif pertama yang terkenal dan permainan pengembaraan terkenal yang pertama. Pengaturcara pada mulanya mahu membuat sebuah permainan yang serupa dan dapat memahami ayat yang lebih rumit daripada perintah dua perkataan seperti yang digunakan untuk program permainan Adventure 's. Pada tahun 1979 mereka mengasaskan syarikat Infocom dengan beberapa rakan sekerja lain di pusat komputer MIT. Blank dan Joel Berez mencipta cara untuk menjalankan sebahagian kecil Zork pada beberapa jenama mikrokomputer. Hal ini membolehkan mereka mengkomersialkan permainan itu sebagai produk pertama Infocom. Episod pertama diterbitkan oleh syarikat Personal Software pada tahun 1980. Akan tetapi selepas itu Infocom membeli semula hak dan menerbitkan sendiri ketiga-tiga episod bermula pada akhir tahun 1981.Zork merupakan sebuah kejayaan yang besar untuk syarikat Infocom. Jualan meningkat selama bertahun-tahun selari dengan perkembangan pasaran komputer peribadi. Episod pertama permainan Zork terjual lebih daripada 38,000 salinan pada tahun 1982, dan sekitar 150,000 salinan pada tahun 1984. Secara kolektif, ketiga-tiga episod terjual lebih daripada 680,000 salinan sehingga tahun 1986. Jumlah ini merangkumi lebih daripada satu pertiga daripada pencapaian jualan daripada syarikat Infocom dalam tempoh ini. Infocom telah dibeli oleh syarikat Activision pada tahun 1986, dan ini membawa kepada pengolahan permainan Zork baharu bermula pada tahun 1987 beserta penerbitan siri buku berkaitan. Ulasan untuk episod permainan Zork adalah sangat positif, sehingga beberapa pengulas menggelarkan Zork sebagai sebuah permainan pengembaraan yang terbaik setakat ini. Pengkritik menganggapnya sebagai salah satu permainan video terhebat. Ahli sejarah permainan telah menyatakan permainan ini sebagai titik permulaan kepada genre permainan pengembaraan, serta mempengaruhi MUD dan genre permainan peranan dalam talian berbilang pemain secara besar-besaran . Pada tahun 2007, Zork dimasukkan ke dalam kanun permainan oleh Perpustakaan Kongres sebagai salah satu daripada sepuluh permainan video terpenting dalam sejarah industri permainan.

Berkaitan