Kontroversi Anugerah_Industri_Muzik_ke-18

Boikot

Setelah senarai calon diumumkan, AIM18 dilanda kontroversi apabila berdepan dengan ugutan boikot oleh sesetengah seniman yang tidak berpuas hati dengan sistem pencalonan baru yang dibuat oleh pihak penganjur itu.[8] Titik berat ketidakpuasan hati mereka ialah didakwa terdapat beberapa calon yang layak tidak menepati fasal negara asal dalam peraturan AIM18, iaitu setiap album haruslah sekurang-kurangnya 60 peratus dihasilkan oleh anak Malaysia, dihasilkan di Malaysia, dan juga berbahasa Melayu; dan untuk single pula, ia mesti 100 peratus digubah oleh komposer tempatan dan juga di bawah label tempatan.[9]

Menjelaskan persoalan ini, seorang jurucakap PAIMM membuat kenyataan, "Artis atau tenaga kerja luar negara masih layak bertanding seandainya mereka bernaung di bawah label tempatan. Sebaliknya, jika seseorang artis Malaysia itu menyanyikan lagu komposer Malaysia, tetapi bernaung di bawah label luar negara, dia masih tidak layak."[9]

Lagu Terbaik

Pemilihan lagu "Penakut" yang dicipta oleh Yuna, sebagai Lagu Terbaik telah memberikan reaksi yang mengejutkan oleh pelbagai pihak. Hal ini kerana lagu tersebut tidak memenangi sebarang kategori genre lagu, malah lagu ini tewas kepada lagu "Sedetik Lebih" ciptaan Edry Abdul Halim nyanyian Anuar Zain bagi kategori Lagu Pop Terbaik.

Edry (kiri), menerima trofi daripada Yuna (tengah), bersebelahan Anuar Zain (kanan), pada sidang media tersebut

Namun begitu, kemenangan Yuna ditarik balik dan trofi itu diserahkan kepada "Sedetik Lebih" ekoran kesilapan teknikal yang dihadapi oleh pihak penganjur, yang mana para pekerja Ernst & Young, firma audit yang dipertanggungjawabkan untuk mengaudit keputusan AIM18, didapati tersalah tafsir peraturan AIM18.[10] Rupanya panel juri dipecahkan kepada kumpulan-kumpulan berasingan bagi setiap kategori, yang mana 10 orang juri bagi Lagu Terbaik memberikan markah tertinggi kepada "Penakut" tanpa menghiraukan keputusan 23 orang juri bagi Lagu Pop Terbaik yang menyebelahi "Sedetik Lebih".[7] Menurut laporan berita, pihak penganjur tidak menolak bahawa Yuna mendapat markah tertinggi dalam penjurian tapisan ketiga, namun atas sebab kriteria yang ditetapkan, markah tersebut tidak diambil kira.[11].

Ini merupakan kali pertama kejadian sedemikian berlaku dalam sejarah penganjuran AIM yang sudah mencecah 18 tahun penganjuran, dan juga peristiwa mengaibkan yang membuat orang awam meragui kredibiliti para juri.[7] Pihak penganjur meminta maaf semasa sidang media semalam disusuli dengan penyerahan trofi oleh Yuna kepada Anuar Zain selaku penyanyi lagu tersebut, dan Edry Abdul Halim, selaku pencipta lagu tersebut.[12]

Rujukan

WikiPedia: Anugerah_Industri_Muzik_ke-18 http://www.budiey.com/anugerah-lagu-terbaik-aim-18... http://www.budiey.com/finalis-top-5-calon-anugerah... http://www.ohbulan.com/surat-penjelasan-ernst-youn... http://www.ohbulan.com/trofi-yuna-ditarik-semula-k... http://www.yoyooh.com/2011/09/aim18-gabungan-artis... http://www.era.fm/Sensasi/CeritEra/July-2011/AIM-k... http://www.astro.com.my/aim18/ http://www.gua.com.my/hiburan/berita-hangat/AIM_18... http://www.gua.com.my/hiburan/berita-hangat/Kredib... http://www.hmetro.com.my/articles/PerubahanbesarAI...