Am Anugerah_Industri_Muzik_ke-18

Majlis AIM yang sebelum ini dianjurkan sekitar April dan Mei telah dilewatkan ke November disebabkan oleh pembaharuan AIM yang dirancangkan oleh RIM setelah Norman Abdul Halim menjadi Pengerusi persatuan pada tahun 2010. Norman menafikan bahawa kesuraman industri muzik tanahair menjadi punca penundaan itu, sebaliknya berjelas, "Material yang ada sekarang sememangnya cukup dan semakin bertambah. Walaupun album kurang tapi produk digital meningkat dan diiringi dengan penghasilan klip video. Jadi itu bukan punca dilewatkan sebaliknya kita mahu menyuntik pelbagai pembaharuan demi kebaikan."[3] Sehubungan dengan itu, tempoh pencalonan AIM18 dipanjangkan kepada 18 bulan, iaitu dari 1 Januari 2010 hingga 30 Jun 2011.[3]

Seperti yang diumumkan dalam sidang media AIM18 yang pertama di Hotel Maya, Kuala Lumpur pada 28 Jun 2011,[4] penganjuran AIM18 nyata menyaksikan banyak perubahan daripada edisi-edisi yang sebelumnya. Yang paling penting sekali ialah pengguguran anugerah-anugerah album terbaik mengikut genre, maka hanya tinggal satu anugerah Album Terbaik keseluruhan untuk mencerminkan arah aliran pasaran muzik yang tidak menyebelahi jualan album, sebaliknya memberati jualan single secara muat turun digital. Mengulas tentang penyingkiran kategori ini, Naib Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri RIM, Rosmin Hashim berkata, "Sambutan kurang menggalakkan daripada segi pencalonan juga menyebabkan RIM mengambil keputusan memberi anugerah kepada satu saja Album Terbaik, mengambil kira kualiti dalam serba-serbi, susunan muzikal, kualiti lagu dan kualiti rakaman, tanpa mengira genre muzik."[5]

Tempat acara AIM juga berpindah dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ke Stadium Putra Bukit Jalil. Menurut Naib Pengerusi RIM, Adrian Lim, "Pertukaran lokasi bertujuan membolehkan lebih ramai peminat dan penyokong artis tanah air menghadirinya, apatah lagi lokasi baru mampu menampung kapasiti lebih besar. Lebih menarik, tiket untuk kemasukan menyaksikan kemuncak AIM18 akan diedarkan percuma."[5] Astro Ria mengambil alih tugas ntv7 selaku penyiar TV rasmi AIM, manakala Era menjadi penyiar radio rasmi.

Sidang media kedua diadakan di Kuala Lumpur untuk mengumumkan senarai finalis AIM18. Sepanjang setahun setengah menerima pencalonan, sebanyak 811 penyertaan diterima iaitu kurang berbanding 927 pada edisi lalu.[6] Penggubah muzik terkenal Ramli M.S. menyandang jawatannya sebagai Ketua Hakim AIM[6] yang menerajui seramai 83 orang juri[7] dalam pemilihan pemenang bagi semua kategori, kecuali Anugerah Khas Artis Mobile Terbaik tajaan Celcom yang diberikan kepada seniman yang paling banyak muat turun lagunya sepanjang tempoh kelayakan.

Rujukan

WikiPedia: Anugerah_Industri_Muzik_ke-18 http://www.budiey.com/anugerah-lagu-terbaik-aim-18... http://www.budiey.com/finalis-top-5-calon-anugerah... http://www.ohbulan.com/surat-penjelasan-ernst-youn... http://www.ohbulan.com/trofi-yuna-ditarik-semula-k... http://www.yoyooh.com/2011/09/aim18-gabungan-artis... http://www.era.fm/Sensasi/CeritEra/July-2011/AIM-k... http://www.astro.com.my/aim18/ http://www.gua.com.my/hiburan/berita-hangat/AIM_18... http://www.gua.com.my/hiburan/berita-hangat/Kredib... http://www.hmetro.com.my/articles/PerubahanbesarAI...