Anugerah_Industri_Muzik_ke-22

Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM22) merupakan acara penganugerahan muzik tahunan anjuran Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) yang telah diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 18 Disember 2016.[1]Anugerah pada kali ini mempertandingkan sebanyak 24 kategori anugerah termasuk lima kategori baharu. Lima kategori tersebut ialah Lagu Muat Turun Paling Tinggi, Lagu Strim Paling Tinggi, Video Muzik Rasmi Paling Tinggi Ditonton di YouTube, Lagu Nada Dering Jualan Paling Tinggi dan Penyanyi Pilihan Malaysia. Dato' Siti Nurhaliza yang mendahului senarai pencalonan dengan 7 pencalonan termasuk 2 pencalonan untuk kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu membuktikan bahawa biduanita itu masih mampu menarik perhatian panel juri selepas bertahun-tahun berkerjaya dalam industri muzik, diikuti oleh penyanyi Faizal Tahir dengan 5 pencalonan. Pemenang anugerah Lagu Terbaik AIM 21, SonaOne menerima 4 pencalonan termasuk 2 lagu dalam kategori Lagu Hip Hop Terbaik. Persaingan sengit boleh dilihat dalam senarai pencalonan untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki Dan Wanita) yang membariskan nama-nama besar di dalam industri muzik tanahair. De Fam, Syamel dan Elvira Arul, 2 nama baru dalam industri muzik tempatan masing-masing menerima 2 pencalonan dan ini meletakkan nama mereka sebaris dengan artis-artis ternama.