Ringkasan Anugerah_Industri_Muzik_ke-22

Bagi penganjuran AIM ke-22, pihak penganjur telah menerima lebih daripada 731 pencalonan untuk AIM tahun ini adalah amat menggalakkan jika dibandingkan pencalonan sebanyak 610 yang diterima untuk AIM 21 yang lepas.

Borang-borang pencalonan telah dihantar oleh Syarikat Rakaman dan Syarikat Penerbitan yang merupakan ahli kepada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan artis-artis yang menjadi ahli kepada Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) untuk Album dan ‘Single’ yang diterbitkan di Malaysia dari 1hb Julai 2014 – 30hb Jun 2016. Proses penjurian telah dikendalikan sekali lagi tahun ini oleh Macomm Management Services, sebuah syarikat pengurusan bebas yang mempunyai pengalaman luas sebelum ini mengendalikan proses penjurian untuk acara-acara anugerah berprestij dalam bidang pengiklanan dan media seperti ‘4A’s Kancil Awards’, ‘Malaysian Effie Awards’ dan ‘Malaysian Media Awards’. Semua pemarkahan para juri diaudit oleh juruaudit bertauliah, MAZARS.

Kategori ‘Rakaman Album Terbaik’ merupakan kategori anugerah yang pertama dinilai pada 18 Ogos 2016 di One Scream Studio, Kelana Jaya. Kategori-kategori yang lain diadili pada 29 dan 30 Ogos 2016 di Hotel PARKROYAL Kuala Lumpur, Hotel Rasmi AIM 22. Kategori terakhir iaitu ‘Lagu Terbaik’ telah diadili di hotel yang sama pada 12hb Oktober 2016. Panel juri AIM 22 yang diketuai oleh komposer dan penerbit ternama Aubrey Suwito sebagai Ketua Juri, terdiri dari mereka yang aktif dan disegani dalam industri muzik tempatan seperti AD Samad, Azmeer, Dato’ Johari Salleh, Dato’ M. Nasir, Fauzi Marzuki, Greg Henderson, Helen Yap, Illegal, Joe Wings, Johari Teh, LY, Pacai, Sharon Paul, Syafinaz Selamat, Taja dan ramai lagi.

Dengan kerjasama pusat membeli-belah AEON, satu siri Jelajah AIM 22 akan diadakan di 5 cawangan AEON Mall bermula di AEON Tebrau City Shopping Centre, Johor Bahru pada 5 November, AEON AU2 Setiawangsa Shopping Centre pada 13 November, AEON MALL Klebang, Ipoh pada 19 November, AEON Mall Kota Bharu, Kelantan pada 26 November dan berakhir di AEON Mall Shah Alam pada 3 Disember. Penganjur akan membawa sebilangan para finalis AIM 22 untuk siri jelajah ini dengan matlamat mendekatkan AIM di hati peminat.

Showcase AIM 22 bakal diadakan di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 6 November 2016 bermula dari jam 3.00 petang hingga jam 6.00 petang. Showcase yang berlangsung selama 3 jam ini membariskan nama artis hebat seperti Akim & The Majistret, Black Hanifah, Hazama, Kaka Azraff, Najwa Mahiaddin, Projector Band, Salammusik, Syamel, Projek Pistol, De Fam, Juwita Suwito dan Vince Chong. Tiket berharga RM60.00 termasuk satu minuman ringan percuma.