Loghat Bahasa_Banjar

Jika diperhatikan, para penutur bahasa Banjar dapat dikenal pasti adanya kelainan-kelainan dalam pengucapan atau perbezaan kosa kata sesama kelompok suku Banjar, maka perbezaan ini boleh dikatakan sebagai loghat dari bahasa Banjar yang terbahagi kepada dua kelompok loghat[13][21] iaitu;

  • Bahasa Banjar Hulu Sungai/Bahasa Banjar Hulu
  • Bahasa Banjar Kuala

Loghat Banjar Kuala pada umumnya ditutur oleh penduduk asli sekitar kota Banjarmasin, Martapura dan Pelaihari, manakala dialek Banjar Hulu pula ditutur oleh penduduk daerah Hulu Sungai umumnya, iaitu kawssan Kabupaten Tapin, Hulu Sungai Selatan, Hulu Sungai Tengah, Hulu Sungai Utara (dan Balangan) serta Tabalong. Penutur dialek Banjar Hulu ini jauh lebih luas dan masih kelihatan beberapa kelainan subloghat lagi yang disebutkan oleh Den Hamer[19] dengan istilah dialek setempat, seperti Amuntai, Alabiu, Kalua, Kandangan, Tanjung. Selain itu, Den Hamer amat berpendapat bahawa bahasa yang dipakai oleh orang Bukit, iaitu penduduk pedalaman pegunungan Meratus, merupakan salah satu subdialek Banjar Hulu juga, dan mungkin subloghat baik Banjar Kuala mahupun Banjar Hulu itu masih banyak lagi, jika dilihat banyaknya kelainan penuturan bahasa Banjar yang masih memerlukan penyelidikan lanjut dari para ahli dialektrografi sehingga bahasa Banjar itu dengan segala subloghatnya boleh dipetakan secara teliti dan tepat. Berdasarkan pengamatan yang ada, perbezaan kelompok dialek Banjar Kuala dengan Banjar Hulu setidak-tidaknya ada dua perkara penting,[13] iaitu:

  1. Adanya perbezaan pada kosa kata tertentu;
  2. Perbezaan pada sebutan fonem tertentu. Di samping itu ada pula pada perbezaan nada dan tekanan meskipun yang terakhir ini bersifat tidak membezakan.[13][22]

Bahasa Banjar Hulu merupakan loghat asli yang dipakai di wilayah Banua Enam yang merupakan bekas Afdelling Kandangan dan Afdeeling Amoentai (suatu pembagian wilayah pada zaman pendudukan Belanda) yang meliputi kabupaten Tapin, Hulu Sungai Selatan, Hulu Sungai Tengah, Hulu Sungai Utara, Balangan dan Tabalong pada pembahagian pentadbiran ketika itu.

Puak-puak suku Banjar Hulu Sungai dengan loghat masing-masing bersesuaian secara relatif dengan pembahagian pentadbiran pada zaman kerajaan Banjar dan Hindia Timur Belanda, iaitu mengikut Lalawangan atau daerah (Kawedanan) pada masa itu, yang sudah berbeza pada zaman sekarang. Puak-puak suku Banjar di daerah Hulu Sungai tersebut misalnya :

  1. Orang Kelua dari bekas Distrik Kelua di hilir Daerah Aliran Sungai Tabalong,Kabupaten Tabalong.
  2. Orang Tanjung dari bekas Distrik Tabalong di hulu Daerah Aliran Sungai Tabalong, Kabupaten Tabalong
  3. Orang Lampihong/Orang Balangan dari bekas Distrik Balangan (Paringin) di Daerah Aliran Sungai Balangan, Kabupaten Balangan
  4. Orang Amuntai dari bekas Distrik Amuntai di Hulu Sungai Utara
  5. Orang Alabio dari bekas Distrik Alabio di Hulu Sungai Utara
  6. Orang Alai dari bekas Distrik Batang Alai di Daerah Aliran Sungai Batang Alai, Hulu Sungai Tengah
  7. Orang Pantai Hambawang/Labuan Amas dari bekas Distrik Labuan Amas di Daerah Aliran Sungai Labuan Amas, Hulu Sungai Tengah
  8. Orang Negara dari bekas Distrik Negara di tepi Sungai Negara, Hulu Sungai Selatan.
  9. Orang Kandangan dari bekas Distrik Amandit di Daerah Aliran Sungai Amandit, Hulu Sungai Selatan
  10. Orang Margasari dari bekas Distrik Margasari di Kabupaten Tapin
  11. Orang Rantau dari bekas Distrik Benua Empat di Daerah Aliran Sungai Tapin, Kabupaten Tapin

Daerah Oloe Soengai dahulu merupakan pusat sebuah kerajaan Hindu, tempat bermulanya perkembangan bahasa Melayu Banjar.

Perbezaan

Dialek merupakan variasi dari suatu bahasa tertentu dan dituturkan oleh sekumpulan masyarakat bahasa tersebut. Dialek ditentukan oleh fakor geografis (dialek kawasan) dan sosial (dialek sosial). Dialek sosial seperti bahasa baku, bahasa basahan (bahasa kolokial), bahasa formal, bahasa tak formal, bahasa istana, bahasa slanga (prokem), bahasa pasar, bahasa halus, bahasa kasar dan sebagainya.

Dialek kawasan berbeda dari segi:

  • Sebutan
    • Contoh: Perkataan gimit (perlahan) disebut dalam pelbagai loghat seperti gamat, gimit, gémét, gumut.
  • Gaya bahasa
    • Contoh: Subloghat Kalua biasanya mempunyai sebutan yang lebih panjang daripada Subloghat Banjarmasin.
  • Tata bahasa
    • Contoh: kuriak-kuriak (loghat Banjar Kuala) dan kukuriak (loghat Banjar Hulu).
  • Kosa kata
    • Contoh: hamput (Banjarmasin), tawak (Barabai), himpat (Kalua), hantup (Tanjung), tukun (Amuntai), tingkalung bererti lempar.
    • Contoh: adupan (Banjarmasin), hidupan (Barabai), kuyuk (Kalua), kutang (Kandangan), duyu'(Paringin), asu (Marabahan), bererti anjing.
  • Kata ganti diri
    • Contoh : kao (loghat utara Kalsel maksudnya kamu) dan nyawa (loghat selatan Kalsel bermaksud kamu)
    • Contoh : ia (loghat utara Kalsel maksudnya dia) dan inya (loghat selatan Kalsel bermaksud dia)

Banjar Hulu

Loghat-loghat Bahasa Banjar Hulu[23] bersesuaian dengan kecamatan-kecamatan yang berpenduduk suku Banjar yang ada di Hulu Sungai, karena orang Banjar menyebut dirinya berdasarkan asal kecamatan atau banua masing-masing. Loghat-loghat tersebut antara lain: Muara Uya, Haruai, Tanjung, Tanta, Kelua, Banua Lawas, Amuntai, Danau Panggang, Babirik, Sungai Pandan (Alabio), Batu Mandi, Lampihong, Awayan, Paringin, Juai, Batu Benawa, Haruyan, Batang Alai, Barabai, Pandawan, Labuan Amas, Angkinang, Kandangan, Simpur, Daha, Sungai Raya, Telaga Langsat, Padang Batung, Margasari (di kecamatan Candi Laras), Tapin dan Binuang.

Banjar Kuala

Loghat Bahasa Banjar Kuala, iaitu bahasa yang dipakai di wilayah Banjar Kuala atau bekas Afdelling Banjarmasin (kini Distrik Bakumpai) dan Afdeeling Martapoera yang kini terdiri daripada Distrik Martapura, Distrik Riam Kiwa, Distrik Riam Kanan, Distrik Pleihari, Distrik Maluka dan Distrik Satui. Kawasan tersebut pada zaman sekarang meliputi Kabupaten Banjar, Barito Kuala, Tanah Laut, serta kota Banjarmasin dan Banjarbaru. Pemakaiannya meluas hingga kawasan pesisir tenggara Kalimantan (bekas Afdelling Kota Baru) iaitu kabupaten Tanah Bumbu dan Kotabaru sampai ke Kalimantan Timur dan Kalimantan Tengah.

Rujukan

WikiPedia: Bahasa_Banjar http://www.antara-sumbar.com/id/berita/nasional/d/... http://kamusbahasabanjarkuala.blogspot.com/2008/10... http://www.ethnologue.com/14/show_language.asp?cod... http://www.ethnologue.com/show_language.asp?code=b... http://www.ethnologue.com/show_map.asp?name=IDK&se... http://www.mybanjar.com/?lang=my&cat=1&id=1&mnu=1 http://members.tripod.com/~serambi_banjar/index401... http://www.wisatamelayu.com/id/news.php?a=SERvcVQv... http://iwanfauzi.files.wordpress.com/2008/12/makal... http://www.usd.ac.id/06/publ_dosen/phenomena/82/so...