Loghat

Loghat (loghat daerah atau dialek) ialah kelainan dalam sesuatu bahasa yang menjadi ciri satu golongan tertentu dalam kalangan penutur bahasa itu.[1] Istilah ini paling biasa digunakan untuk menghuraikan corak pertuturan setempat, tetapi juga ditentukan oleh faktor-faktor lain seperti darjat sosial.[2] Istilah loghat berasal dari perkataan Arab لغة (lúğa) yang bermaksud "bahasa"; sementara istilah dialek dipinjam dari bahasa Inggeris melalui perkataan Yunani διάλεκτος (dialektos) yang bermaksud "bahasa" atau "perbualan".Dalam kegunaan umum, perkataan "loghat" atau "loghat daerah" adakalanya dipakai untuk memaksudkan suatu bahasa yang kurang biasa didengari (terutamanya bahasa setempat), khususnya bahasa yang tidak bertulis atau tidak diselaraskan.[3] Penggunaan perkataan ini tidak sedap didengari penutur bahasa-bahasa yang dimaksudkan kerana diiringi salah sangka bahawa bahasa minoriti berkenaan ketandusan kosa kata, tatabahasa atau kepentingan.Bilangan penutur dan liputan geografi loghat itu agak sukar ditentukan, lebih-lebih lagi loghat itu boleh terbahagi lagi kepada loghat-loghat kecil. Loghat itu adalah sistem perhubungan penuh (baik lisan mahupun berisyarat, tetapi tidak semestinya bertulis) yang dilengkapkan lagi perbendaharaan kata dan tatabahasa sendiri.Loghat yang dikaitkan dengan darjat sosial tertentu dipanggil sosiolek. Kelainan-kelainan bahasa yang lain termasuk: bahasa baku yang diselaraskan untuk tujuan perhubungan umum (contohnya, tulisan piawai); jargon yang dicirikan melalui perbezaan dalam leksikon (perbendaharaan kata); slanga; patois; pijin ataupun bahasa sulit. Corak pertuturan tertentu yang dipakai oleh seseorang individu sahaja dipanggil idiolek.Sesuatu loghat itu boleh dibezakan melalui kosa kata, tatabahasa, dan sebutannya (fonologi, termasuk prosodi). Jika hanya terdapat perbezaan pada sebutannya, maka harus digunakan istilah pelat atau telor, bukan dialek atau bahasa daerah (tetapi istilah loghat adalah tepat bagi kedua-dua erti ini).