Infrastruktur Bandar_Penawar

Sebagai sebuah bandar baru yang kian berkembang pesat, Bandar Penawar kini telah cukup dilengkapi oleh hampir semua kemudahan awam dan infrastruktur asas. Penyediaan kemudahan awam dan infrastruktur asas ini telah disediakan lebih awal lagi di kawasan ini dan sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa oleh Lembaga Bandaran Johor Tenggara (LBJT).

Di antara kemudahan-kemudahan awam yang ada di Bandar Penawar adalah seperti masjid, surau, dewan serbaguna, balai raya, kompleks sukan, perhentian bas dan teksi, sekolah, balai bomba, balai polis, pejabat pos, poliklinik kesihatan, medan selera dan perpustakaan awam. Dua bank, iaitu Bank Islam Malaysia dan Bank Simpanan Nasional telah membuka Cawangan di Bandar Penawar bagi kemudahan perbankan.

Satu lagi kemudahan sosial yang telah dibina adalah Perpustakaan Awam. Pembinaan perpustakaan ini yang telah diambilalih pengurusan sepenuhnya oleh Perpustakaan Awam Negeri Johor pada 28 Mac 2005 dan mampu menarik lebih ramai penduduk ke Bandar Penawar untuk mencari bahan rujukan dan sumber ilmu.

Bagi kemudahan riadah dan rekreasi penduduk juga tidak dilupakan. Taman Tasik Penawar yang dibina di bawah program pengindahan bandar dan penempatan merupakan di antara kawasan rekreasi yang cukup menarik untuk dikunjungi di Bandar Penawar.


Bandar ini mempunyai sekolah yang terkenal iaitu Sekolah Menegah Kebangsaan Agama Bandar Penawar, Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (dulu Sekolah Sukan Bandar Penawar) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Penawar. Di samping itu Kolej Profesional MARA, Kolej Komuniti Bandar Penawar dan Institut Kemahiran Belia Negara turut menyediakan peluang pembelajaran bagi memperolehi sijil kemahiran dan peringkat diploma.