Demografi Batavia

Sehingga pertengahan abad ke-19, orang Belanda di Batavia jumlahnya masih sedikit sekali kerana mereka kurang disertai wanita Belanda dalam jumlah yang memadai. Akibatnya, terdapat banyak perkahwinan campuran yang melahirkan sejumlah Indo di Batavia. Sebahagian besar wanita itu merupakan abdi yang datang dari Bali, tempat persinggahan abdi yang datang dari berbagai-bagai pulau di sebelah timurnya.

Sementara itu, orang yang datang dari China pada mula-mulanya hanya merupakan orang lelaki dan oleh itu, mereka juga berkahwin dengan penduduk tempatan, terutamanya wanita Bali dan Nias. Sebahagian daripada mereka berpegang pada adat Cina (misalnya, penduduk di kota dan Cina Benteng di Tangerang), manakala ada juga yang berbaur dengan pribumi, terutamanya orang Jawa, dan membentuk kelompok Betawi Ora (misalnya, di sekitar Parung). Tempat tinggal utama orang Tionghoa adalah di Glodok, Pinangsia dan Jatinegara.

Keturunan orang India — orang Koja dan orang Bombay — tidak begitu besar jumlahnya. Demikian juga dengan orang Arab sehingga orang Hadhramaut datang dalam jumlah yang besar pada sekitar tahun 1840. Banyak antara mereka yang bercampur dengan wanita pribumi, namun tetap berpegang pada kearaban mereka.

Selepas tahun 1656, orang Jawa dan Banten tidak dibenarkan menetap di dalam kota. Pada tahun 1673, penduduk dalam kota Batavia berjumlah 27,086 orang yang terdiri daripada 2,740 orang Belanda dan Indo, 5,362 orang Mardijker dari India dan Sri Lanka, 2,747 orang Tionghoa, 1,339 orang Jawa dan Moor (India), 981 orang Bali, dan 611 orang Melayu, serta juga 13,278 orang abdi (49%) daripada berbagai-bagai suku kaum dan bangsa.

Pada sepanjang abad ke-18, abdi merupakan kelompok kota yang terbesar. Komposisi mereka cepat berubah kerana banyak yang mati. Demikian juga dengan orang Mardijker. Oleh sebab itu, jumlah mereka merosot dengan cepat pada abad itu dan pada awal abad ke-19 mulai diserap ke dalam kaum Betawi. Sebahagian kelompok Tugu kini berpindah ke Pejambon di belakang Gereja Immanuel. Orang Tionghoa selama ini bertambah cepat, walaupun sepuluh ribu orang dibunuh pada tahun 1740, baik di dalam kota mahupun di luar.

Berdasarkan sejarah Batavia ini, jelaslah bahawa para penduduk Batavia yang kemudian dikenali sebagai orang Betawi sebenarnya merupakan keturunan kaum kacukan aneka suku dan bangsa.