Sejarah Besut

Tuhfat al-Nafis.

Oleh kerana tidak terdapat catatan bertulis mengenai sejarah awal Besut, maka terdapat pelbagai cerita yang menerangkan asal usul Besut. Berdasarkan cerita lisan orang tua, nama Besut diambil bersempena dengan nama ketua orang asli.

Catatan yang paling awal menyentuh mengenai Besut ialah karangan Munsyi Abdullah dalam buku Pelayaran Abdullah ke Kelantan dan daripada buku Tuffatul Nafis karangan Raja Ali Haji.

Dalam buku ini ada dinyatakan mengenai sekumpulan pedagang yang berasal dari Palembang, Sumatera, Indonesia telah datang ke Besut. Sebelum tiba di Besut, mereka telah menjalankan urusniaga di Pattani Darussalam. Dengan menawarkan segantang mata kail kepada ketua orang asli yang bernama Besut, para pedagang ini berjaya memujuk orang-orang asli berpindah ke Hulu Besut. Para pedagang ini menjadi 'pentadbir' dan telah membina penempatan di tebing sungai Besut yang dinamakan sebagai Palembang.

Sekitar 1770-an, Besut berada dalam keadaan tidak stabil kerana ancaman daripada lanun yang berleluasa di pulau-pulau berhampiran. Dalam buku pelayaran Pelayaran Abdullah ke Kelantan, Abdullah Munsyi ada menceritakan kegiatan lanun di kawasan ini. Dikatakan lanun-lanun ini diketuai oleh Panglima Ebeh dan Panglima Garang.

Memandangkan 'pentadbir' yang berasal dari Palembang tidak berdaya dan lemah untuk menentang lanun, bantuan telah dipinta daripada Sultan Terengganu. Sultan Terengganu pada masa itu Sultan Mansur I yang juga dikenali sebagai Marhum Janggut telah memperkenan untuk mengamankan daerah Besut.

Baginda memerintah Terengganu dari 1726 hingga 1793. Baginda telah bertitah kepada putera baginda iaitu Tengku Abdul Kadir untuk mengembalikan kestabilan dan keamanan di Besut.

Sebagai penghargaan atas kejayaan Tengku Abdul Kadir membanteras aktiviti lanun dan mengamankan Besut, Tengku Abdul Kadir telah diberi mandat oleh ayahandanya, Sultan Mansur I Terengganu untuk memerintah Besut sebagai Raja Besut yang pertama pada tahun 1780 dan menjadikan Kampung Raja sebagai pusat pemerintahan.

Sehingga kini, Kampung Raja merupakan tanah yang penuh berkat dan makmur juga melahirkan tokoh-tokoh serta bijak pandai. Walaupun kini nama Kampung Raja digazetkan sebagai Kota Putera, penduduk tempatan dan seluruh penduduk di Malaysia masih kekal dan selesa dengan panggilan nama Kampung Raja.

Tengku Abdul Kadir ibni Sultan Mansur I Terengganu telah melantik salah seorang panglimanya selaku wakil Raja di Kuala Besut (kerana lokasi yang strategik) dengan tujuan untuk mengekang ancaman lanun yang telah berundur ke Pulau Perhentian dan juga mentadbir Kuala Besut dari sudut keamanan setempat termasuk hal ehwal pengadilan kecuali melibatkan nyawa.

Besut dan pulau-pulau berhampiran terus aman tanpa serangan lanun kerana kredibiliti dan kehandalan wakil Raja di Kuala Besut. Seperti yang sedia maklum, muara atau kuala merupakan gerbang utama mana-mana peradaban.

Pemerintahan Raja Besut meliputi daerah Besut sekarang dan sebahagian besar daerah Setiu ini telah berlangsung selama 140 tahun dari tahun 1780 hingga 1920.

Tengku Long bin Tengku Ngah merupakan Raja Besut yang terakhir. Kesan daripada Perjanjian Inggeris-Siam pada tahun 1909, secara tidak langsung telah mengakhiri pemerintahan Raja Besut pada tahun 1920.

Jawatan Pesuruhjaya British diperkenalkan di Besut dan Tengku Long dilantik menjadi Pesuruhjaya British di Besut yang pertama dan dikurniakan gelaran Tengku Seri Indera Segara sekaligus pentadbiran dan administrasi cara British di Besut bermula.

Pesuruhjaya British di Besut yang kedua, Tengku Sulong Lela Segara yang berasal dari Kuala Terengganu bukan lagi dari susur galur keturunan Raja Besut. Tengku Sulong Lela Segara adalah menantu kepada Tengku Long.

Makam Tengku Long dan puteranya, Tengku Muhammad terletak di bahagian hadapan kubah Masjid Lama Kampung Raja. Istana Raja Besut yang terkenal sebagai Istana Tengku Long yang pada asalnya terletak di Kampung Raja dipindahkan ke perkarangan Muzium Terengganu di Losong dengan inisiatif Kerajaan Negeri Terengganu dan kementerian berkaitan untuk tujuan konservasi dan tatapan generasi baru dengan izin dan perkenan cucunda tunggal Tengku Long, Tengku Putera Zainal Abidin (Tengku Seri Aria Raja) bin Tengku Muhammad.

Tengku Putera Zainal Abidin (Tengku Seri Aria Raja) juga adalah cucunda kepada Sultan Zainal Abidin II Terengganu melalui bondanya. Tengku Putera Zainal Abidin berkahwin dengan anakanda Tengku Muhammad Panglima Perang Pahang iaitu cucunda Sultan Ahmad I Pahang.

Tengku Putera Zainal Abidin adalah ahli Majlis Pangkuan Negeri Terengganu ketika pemerintahan ayahanda saudara, Sultan Ismail Nasiruddin Shah Terengganu. Makamnya terletak di Makam DiRaja di perkarangan Masjid Putih, Kuala Terengganu.

Berikut ialah senarai Raja-Raja Besut;

1. (1780-1835) Tengku Abdul Kadir ibni Sultan Mansur I Terengganu2. (1864-1874) Tengku Ali bin Tengku Abdul Kadir.3. (1875-1881) Tengku Hitam bin Tengku Abdul Kadir.4. (1881-1882) Tengku Che Tepok bin Tengku Abdul Kadir.5. (1882-1899) Tengku Ngah bin Tengku Hitam.6. (1899-1920) Tengku Long bin Tengku Ngah. Merupakan Raja Besut terakhir.