Sejarah Black_Pink

2016

Dengan persediaan promosi bermula tahun 2012,[5][6] YG Entertainment mendedahkan senarai ahli dan nama kumpulan ini pada 29 Jun 2016.[7][8]

Blackpink merupakan kumpulan wanita pertama YG Entertainment dalam tempoh tujuh tahun selepas 2NE1.[9] Mereka membuat kemunculan pertama menerusi Square One pada 8 Ogos 2016.[9][10] Lagu "Boombayah" diterbitkan oleh Teddy Park dan ditulis bersama oleh Bekuh BOOM.[11] Video muzik lagu ini diarahkan oleh Seo Hyun-seung.[12] Lagu "Whistle" (휘파람) diterbitkan oleh Teddy Park dan Future Bounce manakala seni katanya ditulis oleh Teddy Park dan Bekuh BOOM.[13][14] Kedua-dua lagu tersebut menduduki tempat pertama dan kedua dalam carta Lagu Digital Dunia Billboard dan merupakan kumpulan terpantas untuk berbuat demikian. Mereka juga merupakan artis Korea ketiga untuk menduduki dua tempat teratas selepas Psy dan Big Bang.[15] "Whistle" menduduki tempat teratas carta digital, muat turun, penstriman dan mudah alih Gaon untuk bulan Ogos 2016. Mereka juga menduduki tempat pertama dalam carta video muzik K-pop dan populariti QQ Music.[16] Persembahan program muzik pertama Black Pink adalah semasa siaran 14 Ogos 2016 Inkigayo.[17] Kemenangan mereka di dalam Inkigayo memecahkan rekod untuk kumpulan wanita dengan masa terpantas untuk memenangi program muzik selepas kemunculan pertama (14 hari). Promosi untuk Square One tamat pada 11 September 2016 dengan satu lagi kemenangan dalam Inkigayo.

Blackpink mengeluarkan album kedua mereka, Square Two bersama lagu utama, "Playing with Fire" (불장난) dan "Stay" pada 1 November 2016. Mereka membuat persembahan kemunculan kembali dalam Inkigayo pada 6 November dan dalam M!'Countdown pada 10 November 2016.[18] "Playing with Fire" merupakan lagu kedua mereka untuk menduduki tempat pertama dalam carta Lagu Digital Dunia Billboard.[19] Di Korea Selatan, "Playing with Fire" menduduki tempat ketiga manakala "Stay" menduduki tempat ke–10.[20]

2017

Pada 16 Mei 2017, satu pengumuman dibuat di mana Blackpink akan membuat penampilan pertama di Jepun pada waktu musim panas dengan pertunjukan sulung berlangsung pada 20 Julai di Nippon Budokan, Tokyo dan pelancaran album mini (EP) pada 9 Ogos. Pertunjukan tersebut dihadiri oleh lebih daripada 14,000 orang dan dilaporkan bahawa sekitar 200,000 orang cuba untuk mendapat tiket pertunjukan itu.[21][22] Satu coretan video muzik lagu "Boombayah" untuk versi bahasa Jepun telah diudarakan di televisyen pada 17 Mei. Tarikh pelancaran album kemudiannya diubah kepada 30 Ogos.[23]

Pada 22 Jun, Blackpink melancarkan sebuah single baru bertajuk "As If It's Your Last" (마지막처럼). Lagu ini menduduki tempat pertama dalam carta Lagu Digital Dunia Billboard pada 22 Jun, menjadikan ia lagu ketiga mereka untuk menduduki tempat pertama dalam carta tersebut.[24] Dalam masa 17 jam dilancarkan, video muzik lagu tersebut memperoleh lebih daripada 11 juta tontonan di YouTube, menjadikannya video muzik terpantas untuk melebihi 10 juta tontonan oleh kumpulan muzik K-pop, di mana ia memecahkan rekod yang dipegang oleh lagu "Not Today" nyanyian BTS dengan 10 juta tontonan di dalam 21 jam.[25][26] Tambahan lagi, video muzik "As If It's Your Last" kemudiannya memecahkan rekod untuk video muzik oleh kumpulan wanita Korea yang paling disukai di YouTube.[27]

Kumpulan ini membuat kemunculan rasmi mereka di Jepun pada 30 Ogos 2017 menerusi pengeluaran album mini Blackpink.[28] EP penampilan pertama Jepun itu berjaya menduduki tempat pertama dalam Carta Album Oricon dengan 39,000 salinan fizikal terjual pada minggu pertama, menjadikan Blackpink kumpulan muzik luar negara yang berada kedudukan pertama dengan pelancaran sulung selepas album 200 km/h in the Wrong Lane (2002) oleh pasangan muzikal t.A.T.u. dan NOLZA (2011) oleh 2NE1.[29][30]

2018

Pada tahun 2018, Blackpink telah diumumkan akan kembali menerusi sebuah album yang dipakej semula, Re:Blackpink.[31] Album ini dikeluarkan pada 28 Mac dan mengandungi kesemua lagu mereka sebelum ini di dalam Bahasa Jepun dan Korea.[32] Pada 15 Jun, Black Pink mengeluarkan EP bertajuk Square Up.