Bonsai
Bonsai

Bonsai

Bonsai ialah suatu seni untuk menghidupkan pokok miniatur di dalam bekas pasu hiasan. Seni bonsai memerlukan pengamalnya menanam spesies pokok tertentu di dalam pasu yang bersaiz kecil, mengawal tumbersarannya serta menggubah bentuk semula jadi susunan dahan, ranting, daun dan juga banirnya mengikut gaya yang dikehendaki.[1] Teknik ini bukanlah pemandulan pokok mahupun penggunaan hormon kerana ia tidak langsung melibatkan pengubahsuaian genetik sesuatu pokok terbabit. Ketinggian bonsai biasanya antara 120-140 sentimeter dan jika melebihi ukuran ini, ia tidak lagi dianggap pokok bonsai tetapi dikelaskan sebagai pokok hiasan.[2]Perkataan 'bonsai' ini adalah dalam sebutan Jepun yang berasal daripada perkataan Cina iaitu 'penzai' yang bermaksud pokok dalam bekas. Bonsai adalah gabungan dua perkataan iaitu 'bon' yang bererti bekas kecil manakala 'sai' ialah pokok. Walaupun ada pokok bonsai yang berusia sehingga lebih daripada 700 tahun, namun usia itu bukanlah faktor utama bernilainya sesuatu bonsai kerana apa yang lebih diutamakan ialah kecantikannya. Bonsai yang terbaik mempunyai mirip pokok sebenar dalam bentuk mini. Meskipun seni bonsai sering dikaitkan dengan masyarakat Cina, kini sudah semakin ramai peminat bonsai di kalangan masyarakat bukan Cina yang turut aktif menceburi seni ini, malahan ada juga yang pernah menerima pengiktirafan dalam beberapa pertandingan peringkat kebangsaan.[3][4]