Sejarah Bromin

Bromin telah ditemui secara berasingan oleh dua orang ahli kimia iaitu Antoine Balard dan Carl Jacob Löwig pada tahun 1825 dan 1826.

Balard menemukan garam bromida dalam sisa rumpai laut dari kawasan paya di Montpellier pada 1826. Rumpai laut tersebut pada asalnya digunakan untuk menghasilkan iodin, tetapi juga pada masa yang sama mengandungi bromin. Balard telah menyuling bromin tersebut dari larutan tepu sisa rumpai laut dengan klorin. Sifat bahan yang terhasil menunjukkan sifat di antara klorin dan iodin. Dengan keputusan yang diperolehi, dia telah cuba untuk membuktikan bahawa bahan tersebut ialah iodin monoklorida (ICl), tetapi setelah gagal membuktikannya dia yakin yang dia telah menemukan satu lagi unsur baru dan menamakannya ‘murid’, dari perkataan Latin ‘muria’ yang bermaksud air masin.Carl Jacob Löwig mengasingkan bromin dari mata air mineral di bandar kediamannya Bad Kreuznach pada tahun 1825. Löwig menggunakan satu larutan tepu garam mineral bersama klorin dan mengekstrak bromin tersebut dengan dietileter(diethylether). Selepas penyejatan eter tersebut, terdapat cecair perang tertinggal dalam bekas uji kajinya. Dengan menggunakan cecair ini sebagai sampel hasil kerjanya dia memohon jawatan di makmal Leopold Gmelin di Heidelberg. Penerbitan keputusan kajiannya adalah sedikit lambat berbanding Balard yang telah menerbitkan keputusannya terlebih dahulu.

Selepas ahli kimia Perancis Louis Nicolas Vauquelin, Louis Jacques Thénard, dan Joseph-Louis Gay-Lussac mengesahkan eksperimen oleh ahli farmasi muda,Balard, keputusannya telah dipersembahkan dalam satu kuliah di Académie des Sciences dan diterbitkan dalam Annales de Chimie et Physique. Dalam penerbitannya, Balard menyatakan bahawa dia telah mengubah nama bahan tersebut dari ‘murida’ kepada ‘brôme’ atas cadangan M. Anglada. Terdapat juga sumber lain yang mengatakan bahawa ahli kimia dan ahli fizik Perancis Joseph-Louis Gay-Lussac telah mencadangkan nama ‘brôme’ berikutan sifat bau wap bahan tersebut. Bromin tidak dihasilkan dalam kuantiti yang banyak sehingga tahun 1860.

Kegunaan komersial pertama bromin, selain diaplikasikan dalam sesetengah bidang perubatan, ialah untuk daguerreotype. Pada tahun 1840, kelebihan bromin yang lain telah ditemui , dimana bromin telah menggantikan wap iodin untuk menghasilkan lapisan sensitif cahaya argentum halida yang digunakan dalam daguerreotype.Kalium bromida dan natrium bromida telah digunakan sebagai antisawan(anticonvulsant) dan ubat pelali pada hujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, sehingga ia digantikan dengan kloral hidrat dan kemudian barbiturat.

Berkaitan