Ciri-ciri Bromin

Secara umum

Bromin merupakan satu-satunya unsur bukan logam dalam bentuk cecair pada suhu bilik, dan salah satu dari enam unsur dalam jadual berkala yang berada dalam keadaan cecair pada atau menghampiri suhu bilik. Takat lebur bromin ialah -7.2 °C dan takat didihnya pula ialah 58.8 °C. Ia wujud dalam bentuk molekul diatom,Br2. Ia juga bersifat tumpat, tidak tetap, berwarna perang kemerahan, dan meruap dengan mudahnya pada suhu dan tekanan bilik lalu menghasilkan wap merah (warnanya seakan-akan menyerupai nitrogen dioksida) yang mempunyai bau seakan-akan klorin. Bromin adalah halogen, yang kurang reaktif berbanding klorin tetapi lebih reaktif berbanding iodin. Bromin juga larut sedikit di dalam air, tetapi larut dengan baik di dalam karbon disulfida, alkohol alifatik(aliphatic alkohol) seperti methanol dan asid asetik. Ia mudah terikat dengan unsur-unsur lain dan memiliki kesan peluntur yang kuat. Bromin, sepertimana korin, juga digunakan dalam penyelenggaraan kolam renang.Sesetengah sebatian bromin telah ditaksirkan mempunyai potensi penyusutan lapisan ozon atau biopengumpulan dalam organisma hidup. Kesannya, banyak sebatian bromin yang digunakan dalam industri tidak lagi dihasilkan, dihadkan, atau dihentikan secara beransur-ansur. Protokol Montreal menetapkan sebahagian sebatian organobromin yang akan dihentikan secara beransur-ansur.Selain itu, bromin juga merupakan agen pengoksidaan yang kuat. Ia cepat bertindak balas dengan logam, terutamanya dengan kehadiran air, begitu juga dengan sebatian organik.

Isotop

Bromin mempunyai 2 isotop yang stabil: 79Br (50.69%) serta 81Br(49.31%) dan sekurang-kurangnya 23 radioisotop lain dipercayai wujud. Kebanyakan isotop bromin adalah produk pembelahan nukleus. Kesemua isotop radioaktif bromin secara relatif mempunyai jangka hayat yang pendek. Setengah hayat paling lama bagi bromin kurang neutron adalah (77Br) iaitu selama 2.376 hari, manakala setengah hayat paling lama bagi bromin kaya neutron(82Br) pula ialah selama 1.471 hari. Sebilangan isotop bromin mempamerkan isomer metastabil. 79Br stabil mempamerkan isomer radioaktif, dengan setengah hayat 4.86 saat.

Berkaitan