Botani Cempedak

Batang dan dedaun

Pokok ini merupakan pokok saka yang boleh mencapai ketinggian sehingga 20 meter. Ia mempunyai daun ringkas yang kebanyakkannya berbentuk elliptik. Bahagian bawah urat daun (midrib) biasanya dipenuhi dengan bulu-bulu halus. Pangkal daun berbentuk tirus hingga obtus manakala hujung daun kebanyakkannya berbentuk kupsidat

Bahagian atas daun berwarna hijau tua manakala bahagian bawah daun berwarna hijau muda. Terdapat varieti cempedak di mana permukaan atas daun dikatakan sedikit malap manakala terdapat varieti di mana ia kelihatan berkilat. Pokok cempedak hampir menyerupai pokok nangka. Perbezaannya jelas pada hujung tangkai daun di mana pada cempedak terdapat bulu-bulu halus berwarna coklat dihujung tangkai daun manakala pada nangka tiada bulu halus ditemui.

Bunga

Pokok cempedak adalah monoecious di mana bunga jantan dan bunga betina terdapat pada pokok yang sama. Namun begitu, bunga jantan dan betina terdapat dalam jambak yang berlainan - jambak-jambak bunga jantan dan betina terdiri dari gugusan banyak bunga-bunga yang bergabung lalu terbentuk dalam seludang nipis berwarna hijau. Apabila jambak kian membesar, seludang akan mula memecah dan jambak bunga akan terbit keluar. Seludang akan bertukar warna menjadi perang dan kemudiannya akan gugur.

Jambak bunga jantan selalunya tirus dan pendek dengan ukuran sehingga lebih kurang 1.5 sm x 5.5 sm dan terdapat pada hujung ranting serta juga pada dahan pokok. Manakala jambak bunga betina biasanya lebih gemuk dan besar serta hanya terdapat pada dahan pokok sahaja. Bunga jantan, setelah 4-5 hari mengorak akan reput menjadi kehitaman lalu kemudiannya gugur manakala bunga betina akan terus membesar membentuk buah.

Buah

Buah cempedakBuah cempedak yang telah dikupas

Pokok cempedak menghasilkan buah secara bermusim di mana dalam setahun hanya terdapat satu musim utama. Ini berbedza dengan nangka di mana buahnya tidak bermusim. Buah cempedak dikenali sebagai 'multiple fruit' memandangkan ia terdiri daripada gugusan banyak bunga betina dalam satu jambak. Buah cempedak mengambil masa 100 hingga 120 hari untuk masak setelah bunganya mengorak.

Buah cempedak juga hampir sama dengan buah nangka di mana kulitnya dipenuhi dengan duri-duri halus yang pendek. Walau bagaimanapun, bentuk buah ini membujur panjang dan saiz buah cempedak adalah lebih kecil dari buah nangka.