Sumbangan Cik_Puan_Besar_Kalsom_Abdullah

Cik Puan Besar Hajjah Kalsom telah menggunakan kedudukannya sebagai permaisuri untuk lebih bergiat aktif dalam menangani isu-isu masalah sosial. Beliau juga merupakan penaung diraja dari pelbagai organisasi. Hasil kerja kebajikannya amat memberikan inspirasi kepada mereka yang terlibat dalam menguruskan organisasi-organisasi yang berkaitan terutama sekali organisasi yang menguruskan isu permasalahan sosial.

Yayasan Sri Kencana Kalsom

Yayasan Sri Kencana Kalsom, dinamakan bersempena namanya yang mana yayasan ini menyediakan tempat tinggal untuk golongan ibu-ibu tunggal dan juga wanita yang telah menjadi mangsa keganasan dalam rumah tangga. Yayasan ini juga membantu golongan wanita-wanita ini untuk membina semula kehidupan mereka seperti membantu mencarikan pekerjaan yang membolehkan mereka hidup berdikari serta menjalani kehidupan yang dihormati oleh masyarakat sekeliling.

OrphanCARE

Beliau juga merupakan Penaung OrphanCARE Foundation, sebuah pertubuhan bukan keuntungan yang bertujuan untuk membantu anak-anak yatim untuk menemui keluarga yang sudi mengambil mereka sebagai anak angkat. OrphanCARE juga merupakan tempat perlindungan untuk bayi yang pertama di Malaysia bagi para ibu yang baru melahirkan bayi supaya bayi yang tidak mahu dijaga oleh mereka boleh ditinggalkan di pertubuhan tersebut sebagai anak angkat. Hal ini bagi mengurangkan isu gejala pembuangan bayi. Beliau juga telah memberikan sokongan yang penuh kepada organisasi ini yang berada di bawah pantauan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai rakan kongsi pintar.

Soroptimist Club Kuantan

Sebagai penaung diraja Kelab Soroptimist Kuantan, Cik Puan Besar Hajjah Kalsom sentiasa memberikan kerjasama yang cukup baik dalam membimbing pergerakan itu dengan pandangannya yang kuat tentang pemerkasaan. Keprihatinannya terhadap golongan wanita disebabkan oleh falsafah peribadinya bahawa setiap impian mesti dikejar sepenuhnya dan wanita mesti diberi setiap peluang untuk merealisasikan bakat dan kemahiran mereka. Kelab ini berfungsi sebagai persatuan golongan-golongan wanita profesional yang di mana mereka berkongsi bakat dan kemahiran serta kemampuan mental dan fizikal mereka untuk membantu golongan yang memerlukan.

The Sorority

Beliau juga merupakan Ahli Kehormat kelab The Sorority, kelab ahli eksklusif untuk wanita profesional yang memberi inspirasi yang berpangkalan di London, objektif kelab ini untuk melahirkan lebih ramai golongan wanita ikonik yang memberikan inspirasi serta mewakili wanita moden dan profesional yang membentuk masa depan dengan gaya dan ekspresi seseorang individu.

Kiwanis Club of Kuantan

Beliau juga merupakan penaung diraja bagi kelab Kiwanis Malaysia di Kuantan sejak dari tahun 2004.