Kelainan Dassault_Mirage_F1

  • Mirage F1CE : Versi eksport Mirage F1C untuk Sepanyol. 45 buah dibina.
  • Mirage F1CG : Versi eksport Mirage F1C untuk Greece. 40 buah dibina.
  • Mirage F1CH : Versi eksport Mirage F1C untuk Morocco. 30 buah dibina.
  • Mirage F1CJ : Versi eksport Mirage F1C untuk Jordan. 17 buah dibina.
  • Mirage F1CK : Versi eksport Mirage F1C untuk Kuwait. 18 buah dibina.
  • Mirage F1CK-2 : 9 buah pesawat F1C telah dijual kepada Kuwait sebagai sebahagian daripada pesanan tambahan.
  • Mirage F1CZ : Versi eksport Mirage F1C untuk Afrika Selatan. 16 buah dibina.

Mirage F1B

Tentera Udara Perancis telah memesan 20 buah pesawat latihan lanjut 2 tempat duduk, Mirage F1B; pesawat-pesawat ini telah dihantar di antara Oktober 1980 hingga Mac 1983. Penambahan kerusi dan sistem kawalan menyebabkan fiuslaj pesawat dipanjangkan sebanyak 30 sm, memaksa kapasiti muatan bahan api dikurangkan dan meriam dalaman ditanggalkan.

Berat kosong pesawat juga meningkat sebanyak 200 kg, disebabkan oleh pemasangan 2 unit kerusi lenting Martin-Baker Mk 10, bagi mengantikan kerusi lenting Mk 4 yang digunakan dalam pesawat F1C, yang mana memiliki halaju hadapan terhad.

Dari segi lain, pesawat F1B masih memiliki keupayaan tempur dengan hanya perlu memasang pod-pod meriam dan tangki bahan api luaran.

  • Mirage F1BE : Versi eksport Mirage F1B untuk Sepanyol. 6 buah dibina.
  • Mirage F1BJ : Versi eksport Mirage F1B untuk Jordan. 2 buah dibina.
  • Mirage F1BK : Versi eksport Mirage F1B untuk Kuwait. 2 buah dibina.
  • Mirage F1BK-2 : 4 buah dijual kepada Kuwait sebagai sebahagian daripada pesanan tambahan.
  • Mirage F1BQ : Versi eksport Mirage F1B untuk Iraq.

Mirage F1A

Pesawat pejuang satu tempat duduk yang dilengkapi dengan pengukur jarak laser dan keupayaan terhad serangan udara ke udara. Pesawat ini dibangunkan dengan kerjasama di antara Tentera Udara Afrika Selatan dan Dassault.

  • Mirage F1AD : Versi eksport Mirage F1A untuk Libya. 16 buah dibina.
  • Mirage F1AZ : Versi eksport Mirage F1A untuk Afrika Selatan. 32 buah dibina.

Mirage F1E

Pesawat serangan darat dan pelbagai peranan satu tempat duduk yang sesuai dalam semua keadaan cuaca.

  • Mirage F1JA : Versi eksport Mirage F1E untuk Ecuador. 16 buah telah dibina.
  • Mirage F1ED : Versi eksport Mirage F1E untuk Libya. 14 buah telah dibina.
  • Mirage F1EE : Versi eksport Mirage F1E untuk Spain. 22 buah telah dibina.
  • Mirage F1EH : Versi eksport Mirage F1E untuk Morocco. 14 buah telah dibina.
  • Mirage F1EH-200 : Pesawat ini dipasang dengan prob pengisian minyak di udara. 6 buah dibina.
  • Mirage F1EJ : Versi eksport Mirage F1E untuk Jordan. 17 buah telah dibina.
  • Mirage F1EQ : Versi eksport Mirage F1E untuk Iraq. 16 buah telah dibina.
  • Mirage F1EQ-2 : Versi pesawat pejuang pertahanan udara satu tempat duduk untuk Iraq. 16 buah telah dibina.
  • Mirage F1EQ-4 : Versi pengawasan, serangan darat dan pelbagai peranan satu tempat duduk untuk Iraq. 28 buah telah dibina.
  • Mirage F1EQ-5 : Pesawat versi anti-kapal satu tempat duduk untuk Iraq. 20 buah telah dibina.
  • Mirage F1EQ-6 : Pesawat versi anti-kapal satu tempat duduk untuk Iraq. Dibina dalam jumlah yang kecil.
  • Mirage F1EDA : Versi eksport Mirage F1E untuk Qatar. 12 buah telah dibina.

Mirage F1D

Versi pesawat latihan, berasaskan pesawat serangan darat dan pelbagai peranan Mirage F1E.

  • Mirage F1JE : Versi eksport Mirage F1D untuk Ecuador. 2 buah telah dibina.
  • Mirage F1DD : Versi eksport Mirage F1D untuk Libya. 6 buah telah dibina.
  • Mirage F1DDA : Versi eksport Mirage F1D untuk Qatar. 2 buah telah dibina.

Mirage F1CR

Setelah yakin pesawat Mirage F1 telah menjadi sebuah pesawat yang berjaya, Dassault memulakan kerja-kerja awal akan kemungkinan bagi membangunkan versi pesawat pengawasan khusus untuk Tentera Udara Perancis. Bagaimanapun, peningkatan kos untuk membina pesawat ini bemakna penggunaan pod-pod tambahan bagi peranan ini adalah merupakan pilihan yang lebih menjimatkan.

Meskipun begitu, pembangunan pesawat pengawasan taktikal untuk Tentera Udara Perancis tetap diteruskan, dan pesawat pertama Mirage F1CR-200 berjaya diterbangkan pada 20 November 1981.

Kebanyakan pesawat Tentera Udara Perancis, termasuk juga pesawat untuk pasaran eksport (seperti pesawat Mirage F1EQ milik Iraq), sememangnya memiliki pelbagai pilihan pod pengawasan, yang mana kebiasaannya akan dipasang di bawah fiuslaj.

Mirage F1CR boleh membawa pelbagai jenis peralatan pengawasan, sama ada dipasang di luar atau di dalam pesawat:

  • Unit pengimbas inframerah, A SAT SCM2400 Super Cyclone dipasang diruang yang dahulunya terletaknya meriam.
  • Ruang di bawah muncung boleh digunakan untuk kamera panoramik Thomson-TRT 40 atau kamera menegak Thomson-TRT 33.
  • Radar Cyrano IVM-R memiliki modul-modul tambahan bagi pemetaan kontur dan permukaan bumi.
  • Penderia-penderia tambahan optikal dan elektronik boleh dibawa pada tenggekan di bawah sayap dan fiuslaj.

Sejumlah 64 buah pesawat Mirage F1CR telah dipesan oleh Tentera Udara Perancis, kumpulan pertama pesawat ini diterbangkan pada 10 November 1982. Unit tentera udara yang menggunakan pesawat ini beroperasi sepenuhnya pada Julai 1983.

Mirage F1CT


Mirage F1CT merupakan versi serangan darat taktikal berasaskan pesawat Mirage F1C-200. Dua buah pesawat pertama versi ini merupakan pesawat yang telah diubahsuai. Ia telah membuat penerbangan sulung pada 3 Mei 1991. 55 buah pesawat telah dibina sehingga 1995, dan kerja-kerja pengubahsuaian telah dilakukan di bengkel milik Tentera Udara Perancis.

Dalam program pembangunan pesawat Mirage F1CT, sistem-sistem avionik dalam pesawat F1C telah ditingkatkan ke tahap F1CR:

  • Radar Cyrano IV telah digantikan dengan Cyrano IVM-R.
  • Sistem navigasi/serangan ditingkatkan dan dipasang dengan pangukur jarak laser.
  • Pemasangan kerusi lenting Martin-Baker Mk 10.
  • Meningkatkan penjejakan radar dan peralatan amaran, dispenser chaff/suar, dan radio selamat juga ditambah.
  • Penambahan untuk kemudahan untuk pemasangan pelbagai jenis persenjataan baru.

Mirage F1AZ dan Mirage F1CZ

Tentera Udara Afrika Selatan menerbangkan kedua-dua pesawat dari versi serangan darat Mirage F1AZ dan versi pesawat pejuang yang dilengkapi dengan radar Mirage F1CZ.Dua buah pesawat contoh pertama dari kumpulan pesanan pertama (iaitu sejumlah 48 buah pesawat yang mana terdiri daripada 32 buah F1AZ dan 16 buah F1CZ) telah dihantar pada 5 April 1975. Kedua-dua pesawat F1CZ ini telah diangkut secara rahsia oleh pesawat C-130 Hercules milik Tentera Udara Afrika Selatan. Pada Julai 1975, jumlah pesawat F1CZ yang selebihnya telah dihantar. Pada 1975, pesawat F1CZ telah muncul di pameran udara di Afrika Selatan, walaupun begitu orang ramai tidak mengetahui bahawa pesawat-pesawat ini telah pun beroperasi dalam perkhidmatan Tentera Udara Afrika Selatan.

Pesawat F1AZ telah dibangunkan secara bersama antara Dassault dan Tentera Udara Afrika Selatan sebagai pesawat serangan darat khusus. Versi AZ memiliki pengukur jarak laser, membolehkan bidikan dan panduan amat jitu digunakan pada persenjataan tanpa panduan, yang mana terdiri daripada bom dan roket. Rekabentuk optikal telah direka oleh ARMSCOR dari Afrika Selatan, iaitu salah satu divisyen firma Optics (kemudian ELOPTRO). Walaupun penggunaannya telah dihentikan pada 1997, kejituan sistem persenjataan pesawat F1AZ masih dirahsiakan oleh pihak Tentera Udara Afrika Selatan. Analisa dari para pemerhati berdasarkan sumber daripada agensi perkhidmatan berita (seperti Jane's Defence Weekly) dan laporan juruterbang (contohnya Komandan Dick Lord, 'Vlamgat', 1999) telah memutuskan versi AZ tergolong dalam keperluan yang digariskan oleh Tentera Udara Amerika Syarikat ke atas pesawat F-15E Strike Eagle bagi mod balistik tanpa panduan.[2]

Pesawat F1AZ telah diserahkan kepada Afrika Selatan di antara November 1975 sehingga Oktober 1976. Pesawat-pesawat ini telah ditugaskan kepada Skuadron 1, Tentera Udara Afrika Selatan, yang berpangkalan di Pangkalan Tentera Udara Waterkloof. Perolehan pesawat ini juga telah dirahsiakan daripada negara lain; dan Skuadron 1 tidak dibenarkan untuk mempamerkan pesawat baru mereka sehingga Februari 1980.

Tentera Udara Afrika Selatan telah menghentikan penggunaan pesawat F1CZ pada 1992, diikuti dengan pesawat F1AZ pada 1997. Pada 1998, Universiti Stellenbosch telah berjaya memperoleh pesawat F1-CZ untuk Jabatan Kejuruteraan Aeronautikal universiti itu.

Sebagai ujikaji, sebuah firma kejuruteraan angkasa Afrika Selatan iaitu Aerosud, telah memasang enjin Klimov RD-33 pada pesawat Mirage F1, enjin ini asalnya digunakan oleh pesawat MiG-29. Pesawat ini digelar sebagai "SuperMirage" F1, dan mendapat penghormatan dengan menjadi pesawat buatan Barat pertama yang dipamerkan di Pameran Udara MAKS di Moscow.

Pada 2004, terdapat sehingga 21 buah pesawat F1AZ dilaporkan telah disimpan di Pangkalan Tentera Udara Hoedspruit, untuk menunggu pembeli yang berminat ke atasnya. Pada April 2006, laporan menyebut Gabon telah membeli pesawat Mirage F1AZ yang terselamat dan alat-alat ganti dengan nilai berjumlah kira-kira ZAR 40 juta. Pada 17 Ogos 2006, agensi berita Perancis Agence France-Presse (AFP) telah melaporkan dua buah pesawat yang dipertingkatkan iaitu Mirage F1AZ bekas Afrika Selatan telah mengambil bahagian dalam lintas hormat di ruang udara Libreville pada waktu pagi semasa hari sambutan kemerdekaan Gabon. Kerja-kerja pemulihan dan tingkat upaya ke atas pesawat telah dilakukan oleh Aerosud. Pengarah Urusan Aerosud Group, Dr. Paul Potgieter telah mengesahkan penglibatan syarikat beliau, tetapi enggan untuk mengesahkan jumlah pesawat yang terlibat. Berdasarkan laporan pada masa itu, Gabon hanya membeli 3 buah pesawat Mirage F1 daripada Afrika Selatan.

Mirage F1CG

Mirage F1CG merupakan versi yang digunakan oleh Tentera Udara Greece, sekarang telah dilucut tauliah.

Peluru berpandu Matra Magic II pada pesawat Mirage F1CG telah digantikan dengan peluru berpandu Sidewinder AIM-9P, dan boleh membawa 4 buah peluru berpandu AIM-9P, berbanding biasa iaitu 2[3].