Promosi Decorate

Yuna memulakan promosi album studio pertamanya ini dengan mengedarkan lagu "Cinta Sempurna" seawal 2010 kepada stesen-stesen radio tempatan. Mulai dari situ, ia mula meraih populariti dan dengan perlahan mula menguasai carta-carta muzik radio. "Cinta Sempurna" ialah lanjutan daripada single "Dan Sebenarnya" yang dikeluarkan pada 2008, yang mana menyaksikan Yuna diterima baik dalam industri muzik arus perdana di Malaysia.

Tidak mahu hanya bergantung kepada muzik melankolik yang mulai sinonim dengan dirinya, Yuna kemudian memilih lagu "Gadis Semasa" sebagai single kedua. Secara khusus, Gadis Semasa merupakan single pertama dari album Decorate (lagu Cinta Sempurna sebelum ini turut didapati dalam EP terdahulu), yang mana mengukuhkan lagi penguasaan Yuna dalam arena muzik tempatan.

Selepas kejayaan "Gadis Semasa" menguasai carta-carta muzik tempatan, Yuna mengeluarkan single seterusnya berjudul "Penakut", untuk membantu promosi album debutnya itu.

Dalam pada dirinya sibuk mempromosikan single terbarunya itu, Yuna juga turut mengedarkan lagu "Decorate dan "Rocket" kepada stesen-stesen radio bahasa Inggeris tempatan bagi mempromosikan albumnya kepada pendengar dan peminat muzik inggeris tempatan.

Lagu "Super Something" digubah dan digunakan untuk satu iklan tuala wanita, iaitu Libresse.

Semasa sidang media Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM18) pada 14 September 2011, Yuna menerima 3 pencalonan menerusi karyanya ini. Album Decorate disenaraipendek untuk kategori Kulit Album Terbaik. Manakala lagu "Penakut" dicalonkan dalam dua kategori utama iaitu Lagu Pop Terbaik dan Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Lagu (Wanita). Yuna membawa pulang anugerah Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Lagu (Wanita) yang mana malam penganugerahan itu juga turut menyaksikan Yuna diberi pengiktirafan Anugerah Kembara.

Decorate untuk pasaran Amerika Syarikat

Setelah dilamar Fader Label, Yuna dan penerbitnya Rob Stone menerbitkan rakaman demo berbentuk EP dengan judul sama untuk pasaran Amerika Syarikat sementara menanti pelancaran album studio sulung Yuna bersama Fader. Single Someone Out of Town dikeluarkan dan sebelum itu lagu saduran daripada kumpulan Nirvana berjudul Come As You Are dikeluarkan sebagai non-album single. EP ini mengandungi 5 lagu yang sebahagiannya dimuatkan dalam album studio kedua Yuna untuk pasaran Malaysia.