Pembangunan F-14_Tomcat

Program F-14 Tomcat dimulakan apabila terdapat keraguan mengenai isu-isu berkaitan berat dan kebolehkendalian berkenaan program Eksperimen Pesawat Pejuang Taktikal (TFX) (F-111B) versi kegunaan tentera laut tidak dapat diselesaikan bagi memenuhi keperluan Tentera Laut A.S. Pihak tentera laut memerlukan sebuah pesawat untuk mempertahankan angkatan kapalnya dengan peranan utamanya adalah dengan melakukan pemintasan terhadap pesawat pengebom Soviet sebelum ia dapat melancarkan peluru berpandu ke atas kapal pengangkut pesawat. Pihak tentera laut juga menginginkan pesawat ini memiliki ciri-ciri sebuah pesawat penguasaan udara. Tentera Laut A.S menentang keras program TFX, yang mana akan menggabungkan keperluan Tentera Udara A.S bagi pesawat serangan aras rendah, bimbang sikap tolak ansur akan mencacatkan pesawat, tetapi dipaksa melibatkan diri dalam program ini atas arahan Setiausaha Pertahanan Robert McNamara yang mahu penyelesaian bersama terhadap keperluan pesawat bagi mengurangkan kos pembangunan. Timbalan Laksamana Thomas Connolly, telah membuat penerbangan ujian ke atas pesawat pembangunan versi F-111A dan mendapati kesukaran pesawat ini untuk mencapai kelajuan supersonik dan mempunyai ciri-ciri mendarat yang sukar. Beliau kemudiannya memberi keterangan pada Kongres A.S berkenaan kerisauan beliau. Berdasarkan keterangan beliau, pada Mei 1968, Kongres A.S telah menghentikan dana bagi membangunkan pesawat F-111B, oleh itu membolehkan pihak Tentera Laut A.S untuk meneruskan pembangunan pesawat baru berdasarkan keperluan mereka.

Arahan Sistem Udara Tentera Laut kemudian mengeluarkan Permohonan Untuk Cadangan bagi Pesawat Pejuang Eksperimen Tentera Laut (VFX), antara keperluannya adalah pesawat dua tempat duduk, kelajuan maksimum pada Mach 2.2 dan peranan kedua sebagai sokongan rapat udara. Daripada 5 buah firma yang menghantar cadangan, empat darinya mempunyai sayap geometri boleh ubah seperti pesawat F-111. Firma McDonnell Douglas dan Grumman telah dipilih untuk ke peringkat selanjutnya pada Disember 1968. Firma Grumman telah memenangi kontrak pada Januari 1969.

Berdasarkan reka bentuk firma Grumman, enjin TF30 daripada projek F-111B akan diguna semula, walaupun Tentera Laut A.S merancang untuk mengantikan enjin ini dengan enjin F401-PW-400 yang sedang dibangunkan oleh Pratt and Whitney untuk Tentera Laut A.S (pada masa sama membangunkan enjin F100 bagi Tentera Darat A.S).[3] Walaupun berat F-14 lebih ringan berbanding F-111B, ia masih merupakan pesawat terbesar dan terberat yang akan digunakan oleh A.S untuk dioperasikan di atas kapal pengangkut pesawat. Berat ini banyak disumbangkan oleh keperluannya untuk membawa radar radar AWG-9, peluru berpandu AIM-54 Phoenix, dan beban bahan api dalaman seberat 7,300 kg. F-14 juga mempunyai persamaan pada salur masuk udara, sayap, dan geometri giar pendaratan dengan pesawat A-6 Intruder.[4]