Ringkasan Filem_Tuah_(1988)

Seorang lelaki berbaju Kesultanan Melayu purba telah menyelamatkan Datuk Shaari (Mustapha Maarof) dan anaknya Shahira (Erma Fatima) daripada penjenayah. Oleh kerana lelaki itu cedera di bahunya, Datuk Shaari membawanya pulang ke rumah. Apabila lelaki itu sedar, dia memperkenalkan dirinya sebagai Hang Tuah (Jamal Abdillah), pahlawan Melayu di abad ke-15. Semua orang berpendapat yang dia telah hilang ingatan, namun Shahira mula percaya dengan cerita Tuah selepas seorang doktor melakukan beberapa ujian pemeriksaan kesihatan sama ada mental dan fizikal. Hasil dari ujian cap jari, dia mendapati tiada data yang sama di dalam sistem Jabatan Pendaftaran Negara. Seorang lagi doktor melakukan ujian mental melalui teknik hipnosis dan mendapati pengakuan dari Tuah adalah jujur dan telus. Dalam pada itu, seorang pesilat terkemuka yang dikenali sebagai Tok Guru (Zami Ismail) mencabar Tuah bertarung. Dalam perlawanan tersebut, Tuah berjaya menewaskan musuhnya dengan mudah.

Semasa bersiar-siar ke Melaka, dia ternampak potret Sultan Anuar Alauddin Shah (Faizal Hussein). Tuah menyatakan bahawa wajah di potret itu mirip Jebat. Shahira menjelaskan sejarah bagaimana Hang Jebat boleh menjadi Sultan Melaka. Menurut cerita dari hikayat Hang Jebat, Jebat mengamuk dan membunuh Sultan Mahmud Shah setelah mengetahui Tuah dihukum bunuh dan menggelarkan dirinya sebagai Sultan. Jebat hanya dapat memerintah Keaultanan Melaka beberapa bulan sahaja sebelum dia mati dibunuh oleh para pembesar istana. Jebat mati akibat diracun.

Selepas mendengar penjelasan itu, Tuah ternampak akan sebilah keris Taming Sari di dalam sebuah peti kaca. Dengan bantuan keris Taming Sari tersebut, Tuah berjaya kembali semula ke zamannya dan bertemu dengan Hang Lekiu (Rusdi Ramli). Tuah menjelaskan bagaimana dia dapat kembali semula ke zaman ini walaupun Hang Jebat pada ketika itu sudah pun menawan Istana Melaka. Tujuannya adalah untuk menyekat tindakan Jebat terhadap Sultan Mahmud Shah. Manakala Sultan Mahmud Shah dan para pembesar yang lain telah melarikan diri akibat dari amukkan Hang Jebat. Hang Tuah bertandang ke Istana Melaka untuk bertemu dengan Hang Jebat dan ingin membunuhnya akibat dari penderhakaan yang dilakukan selama ini. Akhirnya, Hang Jebat mati di tangan Hang Tuah selepas keris Taming Sari berjaya ditikam di tubuhnya. Walaupun Hang Jebat terkorban, isterinya Dang Baru (Rima Rashidi), telah meninggalkan seorang waris di dalam kandungannya yang kemudiannya dikenali sebagai Laksamana Hang Nadim.

Suatu hari, Datuk Shaari dan Shahira telah dikepung oleh perompak bersenjata namun telah diselamatkan oleh seorang lelaki yang wajahnya mirip seperti Tuah. Rupa-rupanya yang menyelamatkan mereka sebentar tadi adalah ASP Sazali (Jamal Abdillah). Manakala Tuah tidak kembali semula ke zaman moden dan ghaib buat selama-lamanya.