Asal-usul Frappuccino

Nama frappuccino menggabungkan istilah "frappe", suatu perkataan bahasa Inggeris New England merujuk kepada susu kocak yang dicampur dengan aiskrim, dan cappuccino, sejenis kopi espresso yang dicampur bersama susu yang membusa. Istilah ini ditandadagangkan di kota Boston, Massachusetts[1][2] di mana "frappe" (disebut "frap", pinjaman istilah bahasa Perancis frappé[3]) merujuk kepada suatu susu kocak pekat dicampur dengan aiskrim.[2]

Minuman ini datangnya daripada syarikat francais The Coffee Connection di timur negeri Massachusetts hasil ciptaan Andrew Frank, seorang pekerja di kedai kopi tersebut.[2] Syarikat ini dibeli Starbucks pada tahun 1994 seterusnya memperolehi hak menggunakan, memiliki serta menjual minuman tersebut.[2]