Penerbitan Geng:_Pengembaraan_Bermula

Filem Geng ini memakan masa dua tahun, belanja sebanyak RM 4.7 juta[10] dan 40 orang juruanimasi tempatan untuk disiapkan. Pengarahnya Mohd Nizam Abdul Razak membandingkan belanja filem ini dengan filem animasi Barat yang menelan "kos sekitar RM15 juta hingga RM40 juta" dan "lebih kurang 130 hingga 150 juruanimasi". Katanya, "Sekalipun kos tidak sehebat filem animasi barat, filem animasi Geng tetap mempunyai kekuatannya dari segi adunan elemen seram, seram ngeri (saspens), dramatik dan lucu yang semuanya dapat dirasai menerusi kesan bunyi dan suara yang mantap. Sokongan padu penonton tempatan sangat diperlukan kerana filem ini dihasilkan dengan daya kreativiti karyawan muda tanah air. Menerusi filem animasi dihasilkan ini, kami berharap ia dapat menarik minat lebih ramai pelabur untuk membiayai kos penerbitan filem animasi tempatan pada masa depan."[1]

Pengarah Urusan Les' Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi, menceritakan bahawa perancangan untuk menerbitkan filem itu bermula ketika Mohd Nizam dan dua rakannya iaitu Muhammad Usamah Zaid and Mohd Safwan Ab Karim[10] bertemu dengannya dan menyuarakan impian mereka untuk menghasilkannya. Menyentuh strategi penjimatan kos, katanya, "Semua peralatan seperti komputer hanya dibeli di Plaza Low Yat dan mereka (karyawan muda) juga mengubahnya menjadi sistem sendiri. Selain itu, pihak kami mendapat bantuan dan sokongan MDeC, Mimos Bhd dan MOSTI".[1] Pembikinan filem ini menggunakan dua perisian penting termasuk Maya dan MentalRay selain proses animasi pertama yang menggunakan teknik perkomputeran grid dibekalkan MIMOS. Kata Nizam, “Perkakasan berjuta-juta ringgit oleh Mimos memberi peluang kepada kami melakukan teknik render yang mengurangkan masa pembikinan animasi 3D kerana kebiasaannya ia mengambil tempoh lebih setahun. Namun, melalui perkomputeran grid, tempoh masa terbabit berjaya dikurangkan ke enam hingga lapan bulan saja yang secara tidak langsung menjimatkan kos operasi.”[11]

Filem Geng asalnya disiapkan pada Ogos 2008 berukuran 108 minit panjangnya, lalu ditayangkan secara khusus kepada penonton jemputan yang terdiri daripada pihak MDeC, Finas, Mimos, RTM, Media Prima, Astro dan para wartawan, tetapi dikurangkan hingga 90 minit untuk tontonan umum atas nasihat FINAS demi kepuasan pihak pawagam. Pada masa yang sama, para kakitangan cuba menyiapkan siri baru Upin & Ipin tepat mengikut jadual yang ditetapkan, maka sedikit menjejaskan perancangan untuk filem Geng.[12] Pihak Les' Copaque menyediakan lima gelendong filem Geng yang asli, tiga daripadanya dihantar ke syarikat Kantana Group di Bangkok, Thailand untuk menjalani proses adunan bunyi. Gelendong pertama yang dipulangkan dari Kantana cuma mengalami adunan audio kasar, dan dihantar ke Lembaga Penapisan Filem untuk dikaji kandungannya.[13] Pada akhir bulan November 2008, pihak Les' Copaque memaklumkan mereka sudah menerima kelulusan dari LPF tanpa potongan dan diberi kebenaran untuk menayangkan filem ini oleh FINAS.[14]

Rujukan

WikiPedia: Geng:_Pengembaraan_Bermula http://72.14.235.132/search?q=cache:KyAk-idBgBAJ:w... http://72.14.235.132/search?q=cache:qgOthnfbW6oJ:w... http://74.125.153.132/search?q=cache:JMYYe5n1yY4J:... http://74.125.153.132/search?q=cache:h3urCeN95bgJ:... http://4.bp.blogspot.com/_FKVIn1vBDRs/SzLbVvYpcKI/... http://gengmovie.blogspot.com/ http://gengmovie.blogspot.com/2008/10/gengthe-adva... http://gengmovie.blogspot.com/2008/11/geng-in-film... http://gengmovie.blogspot.com/2008/11/gengpengemba... http://gengmovie.blogspot.com/2009/01/geng-press-p...