Biografi Giacomo_Meyerbeer

Meyerbeer dilahirkan di dalam keluarga Yahudi di Tasdorf, sebuah pekan yang berhampiran dengan bandar Berlin. Nama kelahiran beliau didaftarkan sebagai Jacob Liebmann Beer. Bapa beliau Jacob Judah Herz Beer (1769-1825) adalah seorang penasihat kewangan yang kaya raya manakala ibu beliau, Amalia Liebmann Meyer Wulff (1767-1854) juga datang dari keluarga elit yang kaya. Adik beradik Meyerbeer termasuklah seorang ahli astronomi, Wilhelm Beer dan penyajak Michael Beer.

Meyerbeer membuat kemunculan pertama beliau ketika berusia 9 tahun dengan bermain muzik untuk konsert Mozart di Berlin. Di dalam usia belia, Beer belajar muzik di bawah seliaan penggubah dan konduktor muzik, Antonio Salieri. Beliau juga belajar muzik dari pakar muzik Jerman yang juga sahabat baik Goethe, Carl Friedrich Zelter. Menyedari hakikat bahawa pemahaman di dalam opera Itali adalah penting untuk kerjaya muzik, beliau kemudiannya meneruskan pengajian muzik di Itali untuk beberapa tahun. Di situlah beliau mula menggunakan nama pertama "Giacomo". Nama 'Meyer' mula diguna beliau selepas kematian moyangnya. Pada ketika itu juga beliau mula membiasakan diri kerja-kerja kontemporari Gioacchino Rossini yang amat menarik minatnya.

Nama Meyerbeer mula menjadi terkenal selepas persembahan opera beliau yang berjudul Il crociato in Egitto (persembahan pertama di Venice pada tahun 1824, kemudiannya di London dan Paris pada tahun 1825; yang juga merupakan opera terakhir dipersembahkan oleh penyanyi kastrato). Kemahsyuran beliau mendadak dengan opera yang berjudul Robert le Diable (libreto ditulis oleh Eugène Scribe dan Casimir Delavigne), dihasilkan di Paris pada tahun 1831 dan dianggap oleh sesetengah orang sebagai opera Agung yang pertama), walaupun pujian sebenar patut diberikan kepada penggubah Daniel Auber untuk opera La muette de Portici.

Lakuran muzik dramatik, komplot melodramatik dan pementasan mewah adalah corak formula yang kerap Meyerbeer ulangi dalam opera-opera beliau, contohnya Les Huguenots (1836), Le prophète (1849), dan L'Africaine, (dipersembahkan selepas kematian beliau pada tahun 1865). Semua opera ini dipersembahkan di peringkat antarabangsa pada sepanjang abad ke-19, termasuklah Le pardon de Ploërmel (1859). Namun, oleh kerana opera-opera ini terlalu mahal untuk dipentaskan, termasuk memerlukan ramai penyanyi-penyanyi utama, dan juga kerana serangan konsisten daripada pengikut-pengikut Richard Wagner, minat orang ramai kepada opera-opera ini lama kelamaan beransur pudar.