Sejarah Hammurabi

Hammurabi merupakan raja Dinasti Pertama di negara kota Babylon, setelah mewarisi tampuk pemerintahan daripada ayahandanya, Sin-Muballit sekitar 1792 SM.[4] Babylon merupakan salah sebuah negara kota kuno yang bertaburan di dataran Mesopotamia dan berperang dengan satu sama lain demi menguasai tanah pertanian yang subur.[5] Biarpun wujudnya pelbagai budaya di Mesopotamia, namun kebudayaan Babylon disanjung tinggi oleh golongan celik huruf di seluruh Timur Tengah.[6] Raja-raja yang memerintah sebelum Hammurabi sudah pun mulai memantapkan penguasaan kawasan tengah Mesopotamia di bawah hegemoni Babylonia. Sewaktu awal pemerintahan Hammurabi, negeri-negeri Borsippa, Kish, dan Sippar telah ditawan.[6] Oleh itu, Hammurabi naik takhta selaku raja negara kecil di tengah keadaan geopolitik yang rumit. Kerajaan Eshnunna yang kuat menguasai kawasan hulu Sungai Tigris sementara negeri Larsa menakluki kawasan delta sungai tersebut. Di sebelah timurnya terletaknya kerajaan Elam. Di utara pula, Shamshi-Adad I sedang berperang untuk meluaskan pengaruh,[7] walaupun kemangkatannya secara tiba-tiba akhirnya memecah-belahkan empayar Semitik yang baru dikuasainya.[8]

Puluhan tahun pertama pemerintahan Hammurabi agak tenteram. Hammurabi menggunakan kuasanya untuk menjalankan kerja-kerja awam, termasuk meninggikan tembok kota untuk pertahanan, serta meluaskan kuil.[9] Pada sekitar 1801 SM, kerajaan Elam yang merentangi laluan perdagangan yang penting merentas Pergunungan Zagros, menyerang dataran Mesopotamia.[10] Dengan sekutu-sekutu di kalangan negeri-negeri dataran, Elam menyerang dan menjatuhkan empayar Eshnunna dengan memusnahkan beberapa buah bandar serta mengenakan penguasaan ke atas sebahagian dataran buat kali pertama.[11] Untuk memantapkan kedudukannya, Elam cuba berperang dengan kerajaan Babylon pimpinan Hammurabi serta kerajaan Larsa.[12] Hammurabi dan raja Larsa berganding bahu dan berjaya menumpaskan kerajaan Elam, biarpun Larsa tidak banyak menyumbang pada usaha perang.[12] Oleh sebab murka dengan kelalaian Larsa menolongnya, Hammurabi berpaling tadah dengan Larsa lalu menguasai seluruh kawasan hilir dataran Mesopotamia menjelang tahun 1763 SM.[13]

Oleh sebab Hammurabi dibantu oleh sekutu-sekutunya dari utara sewaktu berperang di selatan, kekurangan askar di utara menimbulkan huru-hara.[13] Sambil meluaskan pengaruhnya, Hammurabi beralih ke arah utara untuk meredakan huru-hara lalu menumpaskan Eshnunna.[14] Selepas itu, tentera Babylon menakluki negeri-negeri utara yang masih tinggal, termasuk bekas sekutu Babylon iaitu Mari, walaupun barangkalinya 'penaklukan' Mari ini sekadar penyerahan diri tanpa persengketaan.[15][16][17] Dalam beberapa tahun sahaja, Hammurabi berjaya menyatukan seluruh Mesopotamia di bawah tampuk pemerintahannya.[17] Di kalangan semua negeri di kawasan berkenaan, hanya Aleppo dan Qatna di kawasan barat kekal merdeka.[17] Bagaimanapun, sekeping prasasti buatan Hammurabi telah ditemui di Diyarbekir, yang mana beliau menggelar diri sebagai "Raja Amorit".[18]

Ditemuinya sejumlah besar batu bersurat kontrak yang bertarikhkan zaman pemerintahan Hammurabi dan pewaris-pewarisnya, serta 55 pucuk surat tulisan baginda sendiri.[19] Surat-surat ini menyuratkan sekilas pandang pancaroba dalam memerintah sebuah empayar, baik berdepan dengan banjir mahupun menitahkan pembetulan takwim, ataupun menjaga ternakan Babylon yang besar jumlahnya.[20] Sekitar 1750 SM, Hammurabi mangkat dan mewariskan tampuk kuasa kepada anakandanya, Samsu-iluna.[21]