Undang-undang Hammurabi

Rencana utama: Kod Hammurabi

Hammurabi terkenang terutama sekali kerana mengisytiharkan suatu undang-undang yang baru di Babylon, iaitu Kod Hammurabi. Ini merupakan antara undang-undang bertulis yang terawal di dunia, terukir pada sekeping prasasti dan diletakkan di tempat awam untuk tatapan orang ramai, biarpun dipercayai bahawa tidak ramai yang celik huruf. Prasasti itu kemudiannya dijarah oleh Elam dan dibawa ke ibu kotanya, Susa; ia ditemui semula di situ pada tahun 1901 dan kini disimpan di Muzium Louvre di Paris. Kod Hammurabi mengandungi 282 baris undang-undang yang ditulis oleh katib pada 12 keping batu bersurat. Berbeza dengan undang-undang tempatan yang terdahulu, Kod Hammurabi ditulis dalam bahasa Akkad, iaitu bahasa seharian Babylon, dan oleh itu boleh dibaca oleh sesiapa yang celik huruf di kota itu.[22]

Struktur kanun ini amat terperinci, yang mana setiap kesalahan dikenakan hukuman yang tertentu. Hukuman-hukumannya agak kejam jika dibandingkan dengan zaman sekarang, yang mana banyak kesalahan dikenakan hukuman mati, pencacatan, atau falsafah "mata ganti mata, gigi ganti gigi".[23] Hukum ini juga merupakan salah satu contoh terawal gagasan anggapan ketakbersalahan yang turut menyiratkan bahawa yang tertuduh dan penuduh diberi peluang untuk mengemukakan bukti.[24] Bagaimanapun, tiadanya peruntukan untuk hal keadaan peringan untuk mengubah hukuman yang ditetapkan.