Kerjaya Hani_Mohsin

Pelakon

Tetapi, ia bertahan setakat sembilan bulan apabila kerap ponteng bekerja kerana mencari peluang untuk berlakon. Ketika itu, dia menerima tawaran berlakon drama pertama Tapak Gemilang arahan Rahman Adam dan seterusnya siri Naik Tangga Turun Tangga selama 26 episod.

Cerekarama yang dibintangi pada 1988 itu seolah-olah memberi harapan bintangnya dalam bidang seni akan cerah. Kemampuan Mohsin sebagai aktor disegani mula diakui dan filem Jimi Asmara serta Embun membuktikan dia antara pelakon lelaki yang mempunyai ruang mencipta nama besar.

Jimi Asmara benar-benar mempopularkan Mohsin. Malah, sejak muncul dalam filem period arahan pengarah wanita, Erma Fatima ramai peminat memanggilnya dengan nama watak yang dibawakan Mohsin dalam filem itu. Malahan, menerusi filem itu, di Festival Filem Malaysia ke-12, Hani menerima satu-satunya pencalonan untuk pencapaian beliau sebagai pelakon lelaki terbaik di dalam watak utama.

Kesan Jimi Asmara, Mohsin dilamar M Nasir untuk membintangi filem, Merah selepas tertarik dengan penampilannya dalam filem itu.

Secara peribadi, Mohsin puas dengan watak itu apatah lagi peluang membintangi filem period seperti itu tidak selalu datang. Ternyata pengaruh Jimi Asmara agak ‘melekat’ dengan pelakon itu kerana selepas filem terbabit, dia menerima beberapa tawaran watak bercorak period seperti teater, Perempuan Seorang Leftenan Inggeris.

Bagi Mohsin seorang sahaja, watak period memang menarik kerana ia semacam membawanya kembali ke zaman lampau yang klasik. Kelebihan itu juga membawa pengarah asing, John Boorman menawarkannya watak sebagai lelaki Burma dalam filem Beyond Rangoon. Demi menghidupkan wataknya, Mohsin sanggup botakkan kepala.

Penerbit

Selepas enam tahun berkecimpung sebagai pelakon, Allahyarham memperluaskan langkahnya dengan menjadi penerbit pada 1994 menerusi syarikatnya, Imagine Pictures. Antara drama yang diterbitkan syarikatnya ialah Boneka, Aida Shada, Kita Bertemu Di Cameron Highlands, Keranda Untuk Kekanda, Jauh (12 Episod) dan Pukul 2 Petang.

Pun begitu, Mohsin agak keberatan untuk mencuba bakat sebagai pengarah. Memetik katanya dalam satu temu bual, "Tidak guna jadi pengarah kalau sekadar mahu menambahkan bilangan pengarah tempatan sedangkan hasilnya tiada. Saya belum bersedia kerana banyak lagi ilmu yang perlu ditimba."

Selain berlakon, Allahyarham juga dikenali sebagai pengacara berkaliber. Rancangan permainan, Roda Impian siaran Astro Ria menyerlahkan nama Mohsin sebagai pengacara apabila terpilih untuk memimpin program itu menggantikan Halim Othman.

Mohsin menyertai Roda Impian pada 2003 untuk musim ke lapan dan sehingga ini sudah merakamkan lebih 500 episod termasuk untuk musim ke-11.