Sejarah Hanja

Dorongan utama pengenalan aksara Cina ke Korea ialah penyebaran agama Buddha. Bagaimanapun, catatan China utama yang memperkenalkan Hanja kepada orang Korea bukanlah catatan keagamaan, sebaliknya merupakan Cheonjamun (Thousand Character Classic Teks Seribu Aksara).

Orang Korea perlu belajar bahasa Cina klasik agar betul-betul celik huruf bagi kebanyakannya, tetapi terdapat beberapa sistem yang direka untuk menggunakan bentuk ringkas aksara Cina yang mentranskripsi bahasa Korea secara fonetik, iaitu hyangchal (향찰; 鄕札), gugyeol (구결; 口訣), dan idu (이두; 吏讀).

Salah satu cara menyesuaikan Hanja dalam penulisan bahasa Korea mengikut sistem-sistem ini (seperti Gugyeol) adalah untuk melambangkan partikel tatabahasa bahasa Korea asli dan perkataan-perkataan lain hanya mengikut sebutannya. Contohnya, Gugyeol menggunakan aksara 爲尼 untuk mentranskripsi perkataan "hăni", atau "hani" dalam bahasa Korea moden, yang bermaksud "buat". Akan tetapi, dalam bahasa Cina, aksara-aksara yang sama ini boleh dibaca sebagai "wéi ní" yang bermaksud "menjadi biarawati." Ini ialah satu contoh perkataan Gugyeol yang mana radikal (爲) disebut dalam bahasa Korea untuk ertinya (hă — "buat") dan akhiran 尼, ni ("biarawati"), yang digunakan untuk tujuan fonetik.

Hanja ialah satu-satunya bentuk penulisan bahasa Korea sehingga Raja Sejong yang Agung memupuk ciptaan hangul pada abad ke-15. Namun begitu, selepas hangul direka pun, kebanyakan cendekiawan Korea masih menggunakan hanmun.

Pada abad ke-20, barulah hangul betul-betul menggantikan hanja. Secara rasmi, hanja tidak pernah digunakan di Korea Utara sejak Jun 1949 (tambahan pula, segala teks dicetak secara mengufuk dan bukan menegak), kerana Kim Il-sung menganggapnya sebagai tinggalan pendudukan Jepun dan halangan kepada kecelikan huruf.[perlu rujukan]

Tambahan lagi, kebanyakan kata pinjaman bahasa Cina telah diganti dengan perkataan Korea asli di Korea Utara. Bagaimanapun, masih terdapat sebilangan besar kata pinjam bahasa Cina yang masih digunakan secara meluas di Utara (itupun ditulis dalam Hangul), dan aksara hanja masih wujud bagi konteks khas dan juga muncul dalam kamus Korea Utara yang terkini .